Bapa anak dua didakwa lakukan amang seksual fizikal

Iklan
Muhammaad Solehuddin didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan awal bulan ini.

MELAKA TENGAH - Seorang bapa dua anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan awal bulan ini.

Muhammaad Solehuddin Ibrahim, 21, yang mempunyai anak berusia lima tahun dan dua tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga operator kilang didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah bilik hotel di Ayer Keroh, kira-kira jam 1.15 pagi pada 7 Jun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut akta yang sama dan boleh dikenakan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Muhammaad Solehuddin ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta jaminan dikurangkan dengan alasan kesusahan dialaminya selain perlu menyara keluarga termasuk isteri yang tidak bekerja.

Iklan

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang berhubung dengan mangsa, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan pada minggu pertama dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.