Mayat kanak-kanak lemas ditemui

Iklan
Mayat Muhamad Shuail Fazli (gambar kecil) yang dilaporkan hilang dihanyutkan arus selepas dipercayai tergelincir di Sungai Bakau di sini kelmarin, ditemui pagi tadi.

GOMBAK - Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang dihanyutkan arus selepas dipercayai tergelincir di Sungai Bakau di sini kelmarin ditemui lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mayat Muhamad Shuail Fazli, 11, ditemui pada jam 8.57 pagi di Sungai Guntong berhampiran Tasik Puteri Kundang, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Saya telah mendapat pengesahan daripada pegawai di lokasi mayat mangsa ditemui di sungai tersebut.

"Mayat akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat kanak-kanak itu.

"Seorang saksi memaklumkan ketika dia dalam perjalanan ke ladangnya telah menemui mayat kanak-kanak itu di dalam sungai kira-kira 8 pagi.

Iklan

"Mayat tersebut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Samsol memaklumkan seramai 40 anggota dan pegawai Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk Unit Anjing Pengesan dan Pasukan Penyelamat di Air serta polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pada hari ketiga.

Dalam kejadian pada jam 4 petang kelmarin, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai insiden itu.

Kanak-kanak itu dipercayai bermain di tepi longkang sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus deras Sungai Bakau berhampiran Apartmen Rajawali.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas