Lima remaja didakwa rogol berkumpulan gadis bawah umur

Iklan
Remaja berusia 18 dan 19 tahun antara lima remaja didakwa atas pertuduhan merogol berkumpulan dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

MELAKA TENGAH - Lima remaja termasuk tiga di bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan merogol secara berkumpulan dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Bagaimanapun kesemua tertuduh yang berusia antara 15 hingga 19 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pada 12 Mac lalu, kesemua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 16 tahun empat bulan ketika kejadian.

Bagi kesalahan itu mereka boleh dikenakan hukuman Seksyen 14 (a) akta kesalahan- kesalahan seksual terhadap kanak- kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua, empat daripada tertuduh yang berusia antara 15 hingga 18 tahun didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa sama, dan didakwa di bawah Seksyen 375B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Mas di sini kira-kira jam 12.12 tengah malam hingga 7 pagi.

Iklan

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga, tertuduh yang berusia 19 tahun pula didakwa melakukan persetubuhan ke atas mangsa sama di lokasi yang sama tanpa kerelaan mangsa, sembilan hari selepas kejadian pertama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh berusia 18 dan 19 tahun manakala RM15,000 bagi setiap tertuduh di bawah umur dengan syarat tambahan kesemua mereka dilarang mengacau ganggu mangsa serta saksi selain lapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Cassian Anthony merayu jaminan rendah diberikan kepada mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh berusia 18 dan 19 tahun dijamin RM7,000 setiap seorang manakala tiga lagi sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai depan.