Tindakan kerajaan tepat pada masanya

Iklan

SHAH ALAM - Pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan ke atas individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah tindakan wajar dan tepat pada masanya.

Ahli Dewan Belia Negeri Perak, Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional, Beh Zeng Kang berkata, sejak kebelakangan ini, kes kemalangan jalan raya yang berlaku kerap membabitkan individu di bawah pengaruh alkohol.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebelum ini, kes berpunca daripada kecuaian pemandu mabuk seolah-olah menjadi perkara biasa dan sering diketepikan pihak tertentu.

"Saya sokong cadangan dasar usaha kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan bagi meminda dan memperketatkan undang-undang jalan raya sedia ada.

Iklan

"Ini bagi memberi pengajaran dan peringatan tegas kepada semua pemandu agar tidak memandang enteng dan mengambil serius terhadap isu ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Aktivis Alam Sekitar Trash Hero itu berkata, sekiranya pindaan undang-undang di bawah Akta 333 dibuat, budi bicara tidak seharusnya diberi terhadap pesalah bagi meringankan hukuman sedia ada apabila dihadapkan ke mahkamah untuk pengadilan.

Iklan

Zeng Kang turut mencadangkan kaedah lain yang dilihat boleh dipertimbangkan bagi mengatasi kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol termasuk mewajibkan saringan alkohol oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan jalan ketika mengadakan sekatan jalan raya.

"Sekiranya individu itu didapati berada di bawah pengaruh alkohol ketika memandu adalah wajar bagi pihak penguat kuasa mengambil tindakan tegas tanpa budi bicara seperti mengemukakan saman pada kadar tertentu, contohnya denda RM1,000,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Pelajar India SeMalaysia, Arvend Aplasamy ketika dihubungi berkata, kerajaan dan pembangkang pada masa ini perlu mengetepikan isu politik sebaliknya duduk semeja membincangkan dan mempercepatkan pindaan akta berkaitan.

"Kita semua sedia maklum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta 333 supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

"Bagi pembangkang pula, sokonglah usaha kerajaan dengan kurang berpolitik.

"Sepatutnya mereka lebih peka dalam soal kebajikan rakyat.

"Isu pemandu mabuk menyebabkan kematian adalah salah satu daripada masalah yang dihadapi rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut berpendapat, pelaku terbabit perlu menanggung kos sara hidup keluarga dan anak-anak mangsa sehingga cukup umur.