Pelan penggantian pembalakan Kedah satu kesilapan: Peka

Iklan
Shariffa Sabrina Syed Akil

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) tidak bersetuju dengan pelan kerajaan Kedah untuk memberikan kawasan pembalakan pengganti kepada pihak pembalak sebagai pampasan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, menurut laporan media, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, syarikat pembalak tersebut merupakan mereka yang terjejas akibat pewartaan hutan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air.

Iklan
Iklan

"Walaupun Menteri Besar telah memberi jaminan bahawa kawasan ganti adalah hutan pengeluaran yang didefinisikan dan dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang, cadangan ini merupakan satu langkah ke belakang untuk komitmen negeri terhadap pembangunan lestari dan amalan mesra alam.

"Kami ingin mengingatkan Menteri Besar Kedah bahawa sebarang aktiviti pembalakan akan menjejaskan alam sekitar dan mendatangkan kerosakan kepada ekosistem," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Semalam kerajaan Kedah menafikan mahu membuka kembali konsesi balak tetapi hanya menyatakan cadangan bagi menyelesaikan masalah berkaitan selepas kelulusan konsesi pembalakan sebelum ini dibatalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedah tidak berhasrat teroka kawasan baharu pembalakan

Iklan

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, sekiranya kawasan warta merupakan kawasan tadahan hujan, konsesi balak yang melibatkan kawasan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan sama sekali.

"Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa negeri untuk memastikan bahawa kawasan tadahan hujan dilindungi. Kegagalan untuk berbuat sedemikian boleh dianggap sebagai salah guna oleh pihak mereka.

"Pemberian konsesi baharu sebagai pampasan untuk konsesi yang dikeluarkan secara salah bertentangan dengan pentadbiran yang baik dan menimbulkan kebimbangan tentang niat sebenar pampasan konsesi pembalakan yang diberikan," katanya.

Menurutnya, kerajaan Kedah juga bertanggungjawab mematuhi komitmen yang dimeterai oleh kerajaan Malaysia pada peringkat antarabangsa.

"Ini merangkumi komitmen untuk memastikan 50 peratus litupan hutan dan pembangunan lestari.

"Berpandukan perangkaan rasmi Jabatan Perhutanan bahawa Malaysia Barat hanya mempunyai baki 43 peratus litupan hutan, kerajaan negeri sepatutnya tidak membenarkan pembalakan di Kedah sebaliknya mempertingkatkan usaha untuk memelihara hutan sedia ada dan penghutanan semula," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa alam sekitar merupakan soal kepentingan negara dan tidak hanya dihadkan kepada negeri-negeri dalam persekutuan.

"Ini kerana apa yang berlaku di Kedah akan mempunyai kesan terhadap negeri lain di Malaysia dan sekali gus rakyat. Beberapa tahun kebelakangan ini, banyak negeri di Malaysia telah dilanda pelbagai bencana alam yang berkait dengan penebangan hutan yang berleluasa dan kemusnahan alam sekitar.

"Malah lebih ketara apabila Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengatakan posisi kerajaan persekutuan tentang pentingnya hutan kepada sumber air, satu fakta yang dicerminkan apabila isu air digabungkan ke dalam kementerian alam sekitar," katanya.

Katanya, dalam soal perundangan di antara kerajaan Kedah dan pihak pembalak, Peka menyarankan supaya kerajaan negeri berhati-hati selepas mengkaji dengan lebih lanjut tentang kedudukan undang-undang negeri dalam hal ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

"Ini penting terutamanya memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah memutuskan bahawa Perdana Menteri dan menteri lain merupakan pegawai awam dan ini bermakna bahawa mereka boleh dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka dalam jawatan awam.

"Jika kerajaan pentadbir benar-benar komited untuk ‘membina budaya berdasarkan kepentingan alam sekitar dan air’ sebagaimana digariskan oleh Tuan Ibrahim, maka Peka berpendapat bahawa kerajaan negeri mesti menolak segala bentuk pembalakan kerana kita berada di tahap kritikal kehilangan warisan negara kita dan biodiversiti di dalamnya," katanya.