DTI diletakkan sebagai kawasan berisiko tinggi

Iklan
Dr Noor Hisham - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Semua Depot Tahan Imigresen (DTI) diletakkan sebagai kawasan berisiko tinggi susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di pusat tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini DTI Semenyih, Bukit Jalil dan Sepang yang telah dikesan berlaku penularan wabak tersebut dikenakan tindakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Iklan
Iklan

"Apa yang kita lakukan (di tiga DTI) seperti PKPD, tetapi kita tidak perlu kuarantin kerana mereka sememangnya berada di tempat yang dikawal rapi.

"Buat masa ini penularan (di DTI) masih lagi terkawal dan apa yang paling penting adalah kita kenal pasti punca jangkitan.

Iklan

"Kemungkinan jangkitan itu daripada tahanan yang baharu masuk dari (kawasan) PKPD, mungkin dari pekerja perkhidmatan pembersihan, kita tidak tahu. Siasatan masih dijalankan," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, selain DTI, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberi fokus terhadap penjara dan pusat-pusat tahanan lain.

Iklan

Katanya, langkah itu diambil susulan jangkaan akan berlaku peningkatan kes dalam beberapa hari ini melibatkan pusat tahanan.

"Adalah penting untuk kita beri fokus bukan hanya di DTI, tetapi juga penjara dan pusat-pusat tahanan lain kerana kita sedar penularan di pusat-pusat tahanan ini.

"Jadi, kita saring semua orang dan mereka yang positif akan diasingkan dan diberi rawatan," katanya.