Pengusaha stesen Petron kumpul dana

Iklan
Petugas stesen, Nadia dan Muzani membantu membuka Kaunter Makanan Percuma di stesen Petron Chendering, Terengganu.

KUALA LUMPUR - Pengusaha stesen Petron Malaysia (Petron) berganding bahu untuk mengumpul dana dan menyalurkan bantuan bagi melindungi keselamatan petugas kesihatan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak Covid-19.

Pengurus Besar Petron Malaysia, Faridah Ali berkata, seramai 103 pengusaha stesen Petron di seluruh Malaysia telah menyumbangkan set peralatan perlindungan diri (PPE) dan barangan bernilai lebih RM120,000, antaranya beras, minyak masak, topeng muka, tudung, sarung tangan, alat penyukat suhu badan dan cecair pembasmi kuman.

Iklan
Iklan

"Sumbangan tersebut telah disalurkan kepada komuniti-komuniti, hospital dan polis serta askar yang membantu menjaga keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sejak bermulanya pandemik Covid-19, pengusaha stesen Petron dan pengedar LPG serta pelincir telah mula aktif membantu komuniti di kawasan kejiranan, pelanggan dan orang ramai.

Iklan

"Kami berbangga dan menghargai usaha serta kemurahan hati pengusaha dan pengedar kami yang telah menyumbangkan makanan, air mineral, PPE, pakaian serta wang tunai,” katanya.

Petugas stesen Petron, Mohamad Taslim mengagihkan minyak pelincir kepada penghantar makanan GrabFood sebagai tanda penghargaan di stesen Petron Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.

Faridah berkata, antara pengusaha stesen Petron yang terlibat ialah pengusaha Petron Stesen Jalan Sultan Ibrahim, Kelantan, Mohamad Darwis Ab Majid bersama 24 pengusaha di negeri itu yang telah menyumbangkan peralatan PPE untuk Hospital Raja Perempuan Zainab II dan kemudiannya telah disalurkan ke pusat kuarantin yang berdekatan.

Iklan

"Pengusaha Petron di Tawau, Sabah dan Sabah West Coast Interior pula membantu komuniti yang turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka menyalurkan sumbangan makanan kepada seramai 130 keluarga di Pusat Bimbingan Batu 5.5 Jalan Apas dan Kampung Sentosa Hilltop,” katanya.

Beliau berkata, Pengurus Petron Setia Alam, William Tsang pula telah memulakan inisiatif Kaunter Makanan Percuma untuk komuniti dan telah menyumbangkan beras, sardin, tepung, garam, gula serta susu di kaunter tersebut supaya sesiapa yang memerlukan boleh mengambil makanan berkenaan secara percuma.

"Pelanggan yang berkunjung ke stesen telah membawa barangan makanan untuk menambah stok makanan di kaunter tersebut,” kata Faridah.