Senarai hitam kontraktor bermasalah

Iklan
Guan Eng (kiri) melakukan gimik perasmian menaik taraf infrastruktur SK Bagan Jermal, tadi.
BUTTERWORTH – Kerajaan akan menyenaraihitamkan mana-mana kontraktor yang tidak mengikut piawaian dan spesifikasi projek ditetapkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pendekatan itu bagi memastikan setiap projek dilaksanakan dapat memberi keselesaan kepada pengguna.

"Hari ini akhirnya saya dapat masuk ke sekolah kebangsaan kerana sepanjang 10 tahun menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, saya tidak dibenarkan masuk.

"Saya terkejut apabila masuk sekolah ini, kerana ia adalah sebuah sekolah kluster kecemerlangan, tapi infrastrukturnya tak cemerlang.

"Itu yang saya tertanya-tanya apa yang dibuat (dengan peruntukan) sebelum ini. Apakah peruntukan disalurkan tidak digunakan dengan baik?,” katanya kepada media selepas majlis perasmian naik taraf infrastruktur prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Jermal, di sini.

Menurutnya, Unit Penyelaras Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri perlu memastikan kontraktor dilantik membuat kerja dengan betul.

"Kontraktor ini apabila masuk kata bagus, tapi buat kerja tak betul ataupun tak ikut nilai sebenar.

"Kalau tidak, sebagai Menteri Kewangan, saya akan senarai hitamkan mereka, bukan saja di Pulau Pinang tapi di seluruh negara tak boleh dapat kerja.

"Jangan main-main. Kita akan pastikan kontraktor ikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut kesal dengan keadaan tandas pelajar di sekolah kebangsaan, majoritinya berada dalam keadaan 'amat mengejutkan'.

"Tadi saya lihat keadaan tandas. Apa punya tandas macam ini di sekolah? Siapa berani masuk?

"Tandas tak boleh gelap, mesti terang dan paling penting bersih. Itulah sebabnya saya amat pentingkan keadaan tandas,” katanya.

Selepas program berkenaan, Ahli Parlimen Bagan itu turut buat pemeriksaan mengejut di setiap tandas murid sekolah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemerhatian, tandas di sekolah kebangsaan telah lama diabaikan dan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Mengulas mengenai projek naik taraf infrastruktur prasekolah berkenaan, beliau mengumumkan peruntukan RM30,000 diluluskan untuk pembangunan sekolah tersebut. melibatkan naik taraf bumbung prasekolah, bumbung stor sukan, pintu stor, penutup longkang dan penyediaan pendingin hawa.