Dua ADUN PKR keluar parti sudah dijangka: Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim

PETALING JAYA - Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tidak mengejutkan kepimpinan parti itu kerana sudah dijangka.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dua ADUN berkenaan, Azman Nasrudin mewakili DUN Lunas dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) turut membuktikan ketegasan parti untuk menolak golongan tersebut adalah berasas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan kedua-dua ADUN itu juga sekali gus mengenepikan dakwaan kononnya tindakan disiplin dikenakan parti terhadap sebahagian pemimpin dan ahli mereka tanpa beralaskan sebarang bukti kukuh.

"Sebelum ini orang kata tiada bukti (tindakan diambil), adakah hendak tunggu bukti sampai hari inikah (baru ambil tindakan tegas parti)?" katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Azman dan Robert yang mengumumkan keluar parti hari ini atas alasan hilang keyakinan terhadap parti.

Dalam satu sidang akhbar di Kedah, kedua-duanya turut menyuarakan jangkaan akan bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Iklan

Mereka juga berjanji akan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, beberapa siri tindakan disiplin sama ada penggantungan atau pemecatan ahli dibuat PKR sejak kebelakangan ini susulan parti itu sudah tahu ada pihak yang cuba 'mengkhianati' perjuangan.

Terdapat 36 kerusi DUN di Kedah, dengan PKR kini memegang lima, Bersatu (enam), Parti Amanah Negara (empat) dan DAP (dua).

Pas dan UMNO masing-masing mempunyai 15 dan dua kerusi.

Hanya dua kerusi diperlukan untuk membentuk sebuah kerajaan negeri baharu dengan pemerhati politik menjangkakan calon Menteri Besar baharu adalah dari parti Pas.

Antara nama-nama ADUN Pas yang disebut-sebut bakal menggalas jawatan utama pentadbiran kerajaan Kedah itu ialah Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.