Harus pajak gadai emas jika terdesak: Mufti

Iklan
Laporan Sinar Harian, 6 Mei lalu.

IPOH - Hukum menggadaikan barangan berharga seperti emas di kedai pajak gadai adalah harus bagi memenuhi keperluan manusia yang berada dalam keadaan terdesak.

Jabatan Mufti Perak dalam kenyataan berkata, ia diharuskan atas sebab-sebab tertentu sepertimana firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 283 bermaksud: 'Jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedangkan kamu tidak mendapati jurutulis maka hendaklah diserahkan barang-barang gadaian yang akan dipegang (oleh orang yang memberi hutang).'

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan ke atas mereka untuk menyelesaikan segala urusan gadaian di kedai pajak gadai Islam atau kini lebih dikenali sebagai al-Rahnu.

"Kontrak gadaian yang ada pada masa ini ada dua kategori iaitu kontrak gadaian konvensional dan dan kontrak gadaian Islam.

Iklan

"Setiap kontrak yang dibenarkan oleh syarak mempunyai perkaitan dengan hukum hakam tertentu.

"Justeru, kontrak gadaian Islam merupakan alternatif utama bagi umat Islam kerana ia bebas dari sebarang unsur gharar (tidak jelas) dan riba," katanya.

Iklan

Kenyataan itu turut menjelaskan nilai gadaian menerusi kontrak gadaian Islam tidak merosot, malah barang gadaian dijamin selamat dalam simpanan pihak al-Rahnu.

Kenyataan berhubung hukum muamalat yang dikongsi Jabatan Mufti Perak di Facebook, semalam.

Katanya, tempoh pembayaran balik wang pinjaman ke atas pihak penggadai adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak.

"Selain itu, kadar caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak al-Rahnu adalah rendah dan berpatutan," katanya.

Berbeza dengan kontrak gadaian konvensional yang dilihat tidak memenuhi keperluan syariah kerana dalam masa yang sama turut mengenakan faedah yang berlebihan serta berlaku penyelewengan dalam transaksi gadaian.

Sebagai contoh jelasnya, terdapat segelintir dalam kalangan pemegang pajak gadai yang tidak amanah dengan mengambil barang gadaian menjadi hak miliknya sekiranya ia tidak ditebus oleh pihak penggadai.

"Sekiranya barang gadaian tersebut dilelongkan, kerap kali pemegang pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan kepada pihak penggadai selepas ia dilelongkan.

"Begitu juga dengan tuntutan wang pendahuluan oleh pemegang pajak gadai yang dilihat mempunyai unsur penindasan ke atas pihak penggadai," katanya.

Hari pertama pembukaan ekonomi, 4 Mei menyaksikan tular beberapa gambar dan video orang ramai berbaris panjang di depan kedai pajak untuk menggadai emas mereka bagi mendapat wang tunai.

Rata-rata ramai yang mengakui memerlukan wang untuk perbelanjaan barangan dapur dan ada juga mencari modal untuk menyambung semula perniagaan selepas terputus rezeki sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.