Semua sekatan jalan raya di KL ditarik balik kecuali kawasan PKPD

Iklan
Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR - Semua sekatan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur ditarik balik bermula hari ini selaras dengan pengumuman kerajaan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagaimanapun sekatan jalan raya tetap diadakan seperti biasa dengan kawalan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan menarik balik operasi sekatan jalan raya adalah selaras dengan keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan PKPB.

"Kita kini menumpukan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan penjarakan sosial di antara orang ramai khususnya di kawasan terbuka.

Iklan

"Kita sudah menubuhkan pasukan pemantau yang akan bergerak secara serta-merta ke tempat-tempat tumpuan orang ramai yang dikesan melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini di Kuala Lumpur, hanya kawasan Pusat Bandar Utara merangkumi kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan kawasan kediaman berhampiran diletakkan dalam kawasan PKPD.

Iklan

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, jumlah kenderaan yang dikesan memasuki bandaraya Kuala Lumpur hari ini meningkat sebanyak 30 peratus berbanding semasa PKP dilaksanakan.

"Meskipun terdapat peningkatan jumlah kenderaan selepas kerajaan mengumumkan PKPB, tiada kesesakan luar biasa dikesan berlaku di sekitar ibu negara sehingga tengah hari tadi.

"Pihak JSPT bagaimanapun akan memastikan orang ramai sentiasa mematuhi arahan ditetapkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) KKM dipatuhi," katanya.