Covid-19: Dua daerah di Selangor masih zon merah

Iklan
Dua daerah di Selangor masih ditakrif sebagai zon merah dan tujuh lagi direkod sebagai zon kuning berikutan sudah mencatat penurunan kes aktif positif Covid-19.

SHAH ALAM - Hanya dua daerah di Selangor masih ditakrif sebagai zon merah kes aktif positif koronavirus (Covid-19) apabila daerah Klang kini bertambah baik dan menjadi zon kuning.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, empat kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes terkumpul di Selangor kini 1,398 kes dengan 17 kematian.

Iklan
Iklan

Seramai 1,184 pesakit dilapor telah sembuh manakala 183 kes lagi masih aktif.

Menerusi info grafik dimuat naik Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), dua daerah di Selangor masih ditakrif sebagai zon merah iaitu Hulu Langat yang mencatat 72 kes aktif positif Covid-19 dan daerah Petaling merekod 44 kes.

Iklan

Tujuh lagi daerah ditakrif sebagai zon kuning termasuk Klang (29 kes): Gombak (18 kes); Sepang (tujuh kes); Kuala Langat (tujuh kes); Sabak Bernam (tiga kes); Hulu Selangor (dua kes) dan Kuala Selangor (satu kes).

Berdasarkan maklumat diberikan, hanya mukim Hulu Langat yang mencatat 54 kes masih ditakrif sebagai zon merah sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Iklan

Manakala 28 mukim sudah menjadi zon hijau dan baki 27 mukim lagi ditakrif sebagai zon kuning di Selangor.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan mukim Pasir Panjang di daerah Sabak Bernam dan Tanjong Karang di daerah Kuala Selangor yang asalnya zon hijau telah menjadi zon kuning.

Mukim Batang Berjuntai, Ijok dan Jeram pula bertambah baik dari zon kuning ke zon hijau berbanding kelmarin.

"Keseluruhannya Selangor masih mencatatkan lebihan positif dari segi bilangan mukim yang sudah tiada kes aktif.

"Bagi daerah pula, kini Klang telah keluar dari zon merah dengan penurunan kes aktif yang agak ketara. Tahniah warga daerah Klang!” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu STFC memaklumkan, rakyat perlu terus mengamalkan penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan diri.

"Situasi kelihatan semakin baik. Jika anda sayang Malaysia, tolong jaga penjarakkan sosial dan kebersihan diri. Patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu tanggungjawab kita bersama sebagai warganegara,” katanya.