Cubaan seludup peralatan, cecair vape ke Thailand gagal

Iklan
PGA Batalion 9 Kuala Terengganu merampas pelbagai peralatan dan cecair perisa rokok elektronik yang cuba diseludup secara haram ke Thailand.

TUMPAT - Cubaan menyeludup pelbagai peralatan dan cecair perisa rokok elektronik (vape) bernilai RM315,500 ke Thailand berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Pengkalan Kubor, Tumpat semalam.

Dalam serbuan jam 2.30 petang itu, anggota PGA turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang juga pemandu van bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, ketika sedang melakukan rondaan menerusi Op Koronavirus (Covid-19), anggotanya terserempak dengan van berkenaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tempat letak kereta di hadapan sekolah tersebut.

Van yang digunakan untuk membawa pelbagai peralatan dan cecair perisa rokok elektronik (vape) bernilai RM315,500.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan kotak-kotak besar berwarna coklat di mana di dalamnya terdapat beberapa peralatan dan cecair vape pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu van tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan status pendaftaran produk berkenaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan

"Kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak penguasa Kastam Cawangan Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Dalam masa sama, Nor Azizan berkata, pihaknya akan terus melipatgandakan operasi sepanjang penugasan di Op Wawasan Kelantan dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak didapati terlibat dengan aktiviti jenayah rentas sempadan.

Iklan