At-Taqwa Unity Fund Run satukan komuniti
Iklan
Mohd Fadzli (tiga dari kiri) mempelawa orang ramai untuk menyertai At-Taqwa Unity Fund Run 2026 pada 13 Disember.
SHAH ALAM - Menyatukan masyarakat menerusi aktiviti sukan sambil menyumbang kepada pembangunan masjid menjadi antara matlamat penganjuran At-Taqwa Unity Fund Run 2026 pada 13 Disember ini.
Program anjuran Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu menawarkan dua kategori larian iaitu sejauh tiga kilometer (3km) dan enam kilometer (6km) menerusi tema 'Satu Langkah, Seribu Kecergasan'.
Iklan
Iklan
Pengerusi Masjid At-Taqwa TTDI, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim.
"Matlamat kami bukan sekadar mengajak masyarakat menyertai aktiviti larian, tetapi turut menyemai semangat perpaduan, ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan komuniti menerusi program yang menggabungkan elemen kesihatan dan kerohanian," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Iklan
Mohd Fadzli (tengah) sempena sidang media At-Taqwa Unity Fund Run 2026 pada Jumaat.
Beliau berkata, penyediaan dua kategori larian itu memberi peluang kepada peserta memilih jarak bersesuaian dengan tahap kemampuan dan kecergasan masing-masing.
Iklan
Kategori 6km dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi, manakala larian 3km akan dilepaskan 15 minit kemudian.
Keseluruhan program dijangka berakhir pada pukul 10 pagi.
Selain aktiviti larian, peserta turut berpeluang menyertai beberapa pengisian lain termasuk solat Subuh berjemaah, tausiah khas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, sesi Zumba dan cabutan bertuah.
Kepelbagaian aktiviti itu diharap dapat menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia serta penduduk setempat.
Dalam pada itu, penganjuran program berkenaan turut membawa misi membantu masjid apabila sebahagian kutipan daripada yuran penyertaan dan sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada dana operasi, pembangunan serta aktiviti pengimarahan Masjid At-Taqwa TTDI.
Mohd Fadzli berkata, sokongan masyarakat bukan sahaja dapat menjayakan program berkenaan, malah membantu memastikan pelbagai aktiviti masjid dapat diteruskan.
"Melalui penganjuran ini, kami berharap lebih ramai masyarakat tampil bersama-sama menjayakan aktiviti yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah menyumbang kepada pembangunan dan pengimarahan masjid," katanya.
Orang ramai yang berminat menyertai program itu boleh membuat pendaftaran sebelum tarikh tutup penyertaan pada 30 November ini.
Pengambilan kit perlumbaan pula akan berlangsung pada 12 Disember, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang di Masjid At-Taqwa TTDI.
At-Taqwa Unity Fund Run 2026 diharapkan dapat menjadi platform membudayakan kehidupan aktif selain memperkukuh hubungan masyarakat melalui penglibatan bersama dalam aktiviti sukan dan komuniti.
Kerja pembaikan ban yang pecah di Bukit Changgang selesai pada jam 3 petang pada Khamis, manakala kerja menambah tanah masih dilaksanakan bagi memperkukuh struktur berkenaan, lapor wartawan Sinar Harian, Mohd Azlim Zainury dan juruvideo, Yusrizal Yusuf.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan kerja penambahbaikan di kawasan ban berkenaan susulan masalah struktur yang terjejas akibat hentaman arus deras.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/806378/edisi/selangor-kl/ban-bukit-changgang-beri-ruang-jps-lakukan-penambahbaikan---aiman-athirah
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.