Lebih 30,000 penghantar foodpanda dapat perlindungan pendapatan akibat banjir

Iklan
Climate Income Protection diumumkan pada sesi fireside chat di The Insurtech Brief baru-baru ini

LEBIH 30,000 penghantar aktif foodpanda kini mendapat akses kepada perlindungan pendapatan akibat banjir menerusi pengenalan Climate Income Protection manfaat baharu yang diperkenalkan PolicyStreet dengan kerjasama foodpanda dan sokongan BlueOrchard.

Bermula 26 November 2026, perlindungan itu diberikan tanpa sebarang kos kepada penghantar yang layak sebagai lanjutan kepada foodpanda Protect, iaitu perlindungan sedia ada untuk penghantar ketika menjalankan tugas.

Iklan
Iklan

Sebagai perlindungan iklim pertama seumpamanya untuk pekerja gig di Malaysia, Climate Income Protection memperluaskan perlindungan melangkaui insiden ketika bekerja bagi membantu penghantar yang terjejas apabila banjir mengganggu keupayaan mereka menjana pendapatan.

Climate Income Protection manfaat baharu yang diperkenalkan PolicyStreet dengan kerjasama foodpanda dan sokongan BlueOrchard

Iklan

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PolicyStreet, Yen Ming Lee berkata, peningkatan kejadian banjir memberi kesan besar kepada pekerja gig yang bergantung kepada pendapatan harian.

"Bagi pekerja gig yang menjadi tulang belakang ekonomi digital kita, banjir boleh menyebabkan mereka bukan sahaja perlu memikirkan keselamatan keluarga malah kehilangan pendapatan.

Iklan

“Melalui kerjasama dengan foodpanda, kami mahu memastikan penghantar mendapat sokongan ketika mereka paling memerlukannya. Ini sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan insurans lebih relevan dan mudah diakses oleh komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, inisiatif turut mencerminkan aspirasi bersama yang ditetapkan dengan rakan impak BlueOrchard ketika mereka menyertai pusingan pengumpulan dana Siri C PolicyStreet pada Julai.

Di bawah program perintis itu, penghantar yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selama tujuh hari dan ke atas akibat banjir layak menerima bayaran sekali sebanyak RM350 sekali bagi setiap tahun polisi.

Bayaran berkenaan bertujuan membantu mengimbangi kehilangan pendapatan akibat banjir dan penghantar tidak perlu mengemukakan tuntutan atau sebarang dokumentasi.

Sekiranya berlaku banjir, PolicyStreet akan bekerjasama dengan foodpanda untuk mengenal pasti penghantar yang layak dan secara rasmi dipindahkan ke PPS.

Bayaran kemudiannya akan disalurkan terus ke akaun penghantar melalui foodpanda.

Sementara itu, Pengarah Pelaburan, Ekuiti Persendirian di BlueOrchard, Alice Mak berkata, program perintis itu turut memberi peluang kepada pihak terbabit memahami bagaimana insurans boleh bertindak balas dengan lebih baik terhadap risiko iklim.

“Program perintis ini bertujuan membantu melindungi pekerja gig daripada kesan kewangan akibat banjir, selain memberi kami peluang memahami bagaimana insurans boleh bertindak balas dengan lebih baik terhadap risiko iklim.

“Kami berharap pembelajaran ini dapat menjadi panduan kepada pembangunan produk pada masa hadapan, dengan hasrat jangka panjang untuk memperluaskan perlindungan ini kepada kumpulan lain yang mungkin berdepan risiko sama,” katanya.

Climate Income Protection diumumkan pada sesi fireside chat di The Insurtech Brief, yang menampilkan Ming Lee dan Pengerusi Majlis Insurans Persatuan Fintech Malaysia, Amitabh Singh.

Sesi itu membincangkan bagaimana teknologi mengubah cara produk insurans direka bentuk, ditawarkan dan digunakan oleh pengguna.

Turut dibincangkan, usaha syarikat insurans dan insurtech untuk mencapai golongan yang tidak mempunyai perlindungan insurans yang sesuai, kaedah memastikan perlindungan kekal mampu milik serta peranan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan industri insurans.