Ahmad Zahid, empat lagi pemimpin BN-UMNO tiba di Istana Hinggap menghadap Tuanku Muhriz

Iklan
Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Hinggap pada Khamis untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

SEREMBAN - Lima pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN)-UMNO diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Hinggap di sini pada Khamis untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Kenderaan yang dinaiki Timbalan Perdana Menteri itu tiba jam 3 petang dan beliau sempat membuka tingkap serta melambai kepada media yang setia menunggu di luar istana sejak jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Selain beliau, turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada Ahad lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN menyerahkan segala urusan dan kuasa pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Tuanku Muhriz serta menegaskan gabungan itu tidak pernah melanggar perlembagaan negeri dalam perkara berkenaan.

Iklan

Beliau turut menyatakan harapan supaya kemelut politik yang melanda negeri itu dapat diselesaikan bagi membolehkan kerajaan negeri membentangkan dan meluluskan belanjawan tahun depan.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menghadap Tuanku Muhriz sekitar jam 1.18 petang.

Iklan

Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail sejak beliau diumumkan oleh Barisan Nasional(BN) peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Desas-desus bertiup kencang mengatakan bahawa Ismail akan mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar, namun perkara itu masih belum dapat disahkan sehingga kini.