KUCHING - Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya lebih banyak mendengar daripada bercakap dan tidak terlalu ghairah menabur janji kepada pengundi.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, 82 calon GPS yang bakal menggalas cabaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 diibaratkan sebagai pengantin yang menjadi tumpuan pada hari persandingan ketika mereka bersiap sedia untuk turun padang mendekati pengundi.
Beliau yang menggunakan analogi pengantin mahu calon GPS memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan dan keperluan mereka terlebih dahulu sebelum mengemukakan sebarang janji atau tawaran sepanjang tempoh berkempen.
"Apabila kita menjadi calon, anggaplah diri kita seperti pengantin. Jangan terlalu banyak berjanji. Biarlah orang lain bercakap, kita dengar dahulu. Selepas itu, barulah kita boleh bercakap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan watikah calon GPS bagi PRN Sarawak ke-13 di sini pada Khamis.
Di sebalik nasihat bersahaja itu, Abang Johari turut menekankan aspek kesiapsiagaan jentera pilihan raya dengan mengingatkan calon supaya memastikan ejen pilihan raya masing-masing memahami peranan dan tanggungjawab bagi melancarkan perjalanan kempen.
Beliau berkata, calon yang pertama kali bertanding, termasuk 11 muka baharu yang diketengahkan GPS kali ini akan diberikan taklimat khas berhubung perkara berkenaan.
Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada semua calon atas amanah yang diberikan dan berharap mereka bekerja keras bagi memastikan GPS mencapai kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Semalam, GPS mengumumkan barisan calonnya dengan mengetengahkan 11 muka baharu, selain meningkatkan jumlah calon wanita daripada empat pada PRN lepas kepada lima kali ini serta menambah penyertaan golongan muda dan profesional.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Disember.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. - Bernama