TANGERANG - Malaysia sentiasa bersedia membantu negara anggota ASEAN yang dilanda bencana, selain menyokong usaha menggerakkan bantuan kemanusiaan secara bersama-sama ke luar rantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook pada Rabu berkata, bantuan seumpama itu boleh digerakkan sekiranya wujud permintaan daripada negara terjejas, mengikut keperluan dan kemampuan blok 11 negara berkenaan.
Iklan
Iklan
Ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-14 di Jakarta, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) turut menekankan bahawa kesiapsiagaan terhadap bencana perlu bermula sebelum tragedi itu berlaku.
Ahmad Zahid tiba di Jakarta pada Selasa selepas selesai agenda lawatan di Bali dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Indonesia yang bermula Isnin.
Beliau berkata, di Malaysia, langkah kesiapsiagaan bencana diperkukuh melalui pembangunan Strategi Pengurangan Risiko Bencana Negeri di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, dengan mengambil kira risiko dan keperluan setempat dalam perancangan pembangunan serta perlindungan perkhidmatan asas.
Selain itu katanya, Malaysia turut menyokong pengukuhan kerjasama AMMDM Plus bersama-sama Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, India dan New Zealand, khususnya dalam latihan teknikal, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pelaksanaan Program Kerja Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2026-2030.
"Insya-ALLAH Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat AHA iaitu Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta mempercepat penyaluran bantuan apabila diperlukan,” katanya.- Bernama