NIBONG TEBAL- Kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada bahagian kepala disahkan menjadi punca kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemukan di kawasan Kampung Baru, Jalan Byram di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, pengesahan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya pada Selasa.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung penemuan mayat lelaki berkenaan pada Isnin.
“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti, manakala suspek yang terlibat juga belum dapat dikesan.
“Pihak polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan individu yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membabitkan kesalahan membunuh.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Rizal Abd Rashid menerusi talian 019-8282212 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
"Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan separuh tertanam di tebing terusan pengairan di Kampung Baru, Ladang Byram di sini, malam Isnin.
Mayat berkenaan ditemui dengan kesan kecederaan pada kepala serta tompokan darah berhampiran lokasi penemuan.
Mangsa ditemukan orang awam kira-kira jam 11 malam sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis.
Susulan penemuan itu, polis menjalankan pemeriksaan dan pencarian bahan bukti di sekitar kawasan berkenaan selama beberapa jam sebelum operasi di lokasi ditamatkan kira-kira jam 6 pagi Selasa.
Dalam operasi berkenaan, anggota bomba turut membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tertanam di dalam lumpur sebelum diserahkan kepada pihak polis kira-kira jam 2.45 pagi.
Difahamkan, laluan berhampiran lokasi penemuan itu sering digunakan penduduk kampung untuk menuju ke kawasan sungai dan sangkar ikan berhampiran.