KUANTAN – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dicetuskan sejak 2016 berjaya diteruskan merentasi lima pentadbiran Perdana Menteri dan tiga Yang di-Pertuan Agong sebelum mencapai kemajuan hampir 99 peratus ketika ini.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada pemimpin terdahulu diatas peranan mereka dalam memastikan projek tersebut disiapkan.
"Kemudiannya (projek ini) diteruskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, (seterusnya) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan sehingga kini Datuk Seri Anwar Ibrahim," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika bertitah pada majlis pembukaan Stesen ECRL KotaSAS di sini pada Selasa.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) itu merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, menghubungkan Kota Bharu dengan Lembah Klang.
Fasa Satu sepanjang 520 km yang kini hampir siap sepenuhnya menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak, manakala Fasa Dua menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang.
Fasa kedua itu dijangka siap menjelang Disember 2027, dengan operasinya dijadualkan bermula pada Januari 2028.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sepanjang tempoh pembangunan itu, negara turut menyaksikan tiga Yang di-Pertuan Agong, termasuk baginda sendiri yang mengikuti perkembangan projek berkenaan sebelum menaiki takhta pada 2019.
Baginda bertitah, ECRL pernah berdepan ketidaktentuan selepas pertukaran kerajaan pada 2018 apabila timbul pelbagai desas-desus mengenai kemungkinan projek itu dikaji semula.
"Saya tidak berhasrat untuk mengulas secara terperinci, namun saya mengikuti perkembangan yang berlaku
"Tapi Alhamdulillah, pada ketika itu saya pertama kali bertemu dengan Datuk Seri Darwis (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak) dan telah mendapat sedikit laporan lebih terperinci berkaitan dengan rancangan projek ini.
"Saya juga telah memainkan peranan setakat mana yang saya telah buat supaya projek ini diteruskan dengan sebaik-baiknya," titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin terdahulu dan pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan projek berkenaan.
Baginda bertitah, usaha semua pihak membolehkan ECRL mencapai kemajuan hampir 99 peratus, malah pelaksanaannya kini bergerak lebih cepat berbanding jadual yang ditetapkan.
"Dan kita di sini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemimpin dahulu dan juga semua yang terlibat secara langsung telah berjaya menyediakan dan menyiapkan projek ini sepertimana yang dinyatakan oleh
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) tadi iaitu sebanyak 99 peratus.
"Walaupun sedikit tergendala, tetapi telah dapat bergerak lebih cepat daripada jadual yang ditetapkan," titah baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, ramai tetamu dari Pahang yang hadir pada majlis berkenaan kelihatan gembira dan bersyukur kerana hari itu merupakan detik yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
"Saya tengok hari ini ramai tetamu dari Pahang begitu senyum dan bersyukur kerana inilah satu hari yang kita menanti-nanti.
"Ibaratkan sudah berapa tahun yang kita dimaklum tentang ECRL ini dan hari ini adalah kemuncaknya untuk kita dengar sendiri dan lihat sendiri dan merasa sendiri berada di stesen dan sekejap lagi nanti naik kereta api berkenaan," titah baginda.