SHAH ALAM - Konvensyen Nasional 2026 Parti Amanah Negara (Amanah) pada Ahad meluluskan usul mewujudkan penggal tetap bagi setiap kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya bagi menjamin kestabilan politik negara.
Usul itu mendapat persetujuan majoriti perwakilan selepas melalui sesi perbahasan yang turut menyaksikan pandangan perwakilan yang menyokong dan membantah cadangan berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa cadangan penambahbaikan termasuk pengecualian tertentu terhadap pelaksanaan penggal tetap kerajaan turut dikemukakan untuk diperhalusi oleh jawatankuasa usul parti.
Perwakilan Amanah Shah Alam, Ahmad Fahmy Murad berkata, Malaysia memerlukan mekanisme penggal tetap kerajaan atau 'fixed-term government' sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi bagi mengelakkan ketidakstabilan politik akibat perubahan sokongan wakil rakyat.
"Kita telah menyaksikan beberapa episod pertukaran kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya, berpunca daripada perubahan sokongan politik dan percaturan kuasa.
"Keadaan ini memberi kesan negatif terhadap kestabilan politik negara, mengikis kepercayaan anak muda dan masyarakat terhadap sistem demokrasi selain menjejaskan keyakinan pelabur," katanya ketika membentangkan usul pada konvensyen berkenaan yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Ahad.
Menurut Ahmad Fahmy, pelaksanaan undang-undang antilompat parti ketika ini masih mempunyai kelompangan kerana wakil rakyat boleh menarik sokongan terhadap Perdana Menteri atau Menteri Besar tanpa perlu meninggalkan parti masing-masing.
Beliau turut merujuk beberapa episod pertukaran kerajaan sejak 2020 termasuk perkembangan politik di Perlis pada Disember 2025 sebagai contoh keperluan memperkukuh mekanisme kestabilan pentadbiran.
Sehubungan itu, Ahmad Fahmy menggesa Amanah memperjuangkan penggubalan rang undang-undang reformasi institusi bagi membolehkan kerajaan yang dipilih rakyat mentadbir sehingga tamat penggal lima tahun, tertakluk kepada pengecualian yang dibenarkan Perlembagaan.
"Kita tidak mahu kerajaan yang kebal tetapi kita mahu mengembalikan kepercayaan anak muda terhadap sistem demokrasi kita. Mandat rakyat bukan barang tawar-menawar," tegasnya.
Sementara itu, perwakilan Selangor, Shamsul Ma'arif Ismail yang menyokong usul berkenaan berkata, cadangan tersebut bukan sekadar perubahan kepada jadual pilihan raya, sebaliknya langkah memperkukuh reformasi institusi dan sistem pemerintahan negara.
Katanya, tempoh pentadbiran yang lebih teratur penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan manifesto serta dasar pembangunan selain memberikan kepastian kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.