'Naratif perpaduan Melayu-Islam itu salah kerana bertentangan ajaran Islam' - Hassan Karim

Iklan
Hassan menyifatkan kerjasama politik UMNO dan Pas lebih menjurus kepada perpaduan berasaskan kaum.

JOHOR BAHRU - Masa depan parti-parti politik berasaskan nilai keadilan, amanah dan demokrasi bakal ditentukan menerusi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung tahun depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP membawa tiga nilai teras berbeza sebagai asas perjuangan politik masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PKR berasaskan nilai keadilan, Amanah berteraskan nilai amanah manakala DAP pula membawa nilai demokrasi.

Beliau berkata, ketiga-tiga parti itu berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang sejak 2008, selain Negeri Sembilan dari 2015 hingga 2026.

Iklan

Katanya, PH turut berjaya membentuk kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali iaitu bagi tempoh Mei 2018 hingga Februari 2020 dan bermula November 2022 sehingga kini.

"Melainkan menggabungkan jenama politik berasaskan nilai dapat bertahan untuk menjadi kerajaan Persekutuan selepas PRU-16 atau terpaksa tumbang dihanyutkan oleh gelombang biru-hijau yang membawa politik berasaskan perpaduan kaum iaitu perpaduan Melayu?" katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mengulas kerjasama politik UMNO dan Pas, bekas Pengerusi PKR Johor itu berpandangan, gabungan itu bukanlah perpaduan Melayu-Islam seperti yang sering digambarkan, sebaliknya lebih menjurus kepada perpaduan berasaskan kaum.

"Perpaduan Umno-Pas sebagai pemain utamanya bukanlah perpaduan Melayu-Islam. Naratif perpaduan Melayu-Islam itu adalah salah kerana ia bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

"Islam tidak pernah dan tidak akan membenarkan ia bersekutu dengan perjuangan berasaskan kaum ataupun assobiah," katanya.

Beliau turut mendakwa Pas semakin menyimpang daripada matlamat asal perjuangannya apabila memilih untuk kembali bekerjasama dengan UMNO demi mencapai kemenangan politik.

Menurutnya, Pas yang ditubuhkan pada 1951 selepas keluar daripada UMNO kini dilihat kembali menjalin kerjasama dengan parti berkenaan selepas 75 tahun.

"Jika pada tahun 1951, Pas di waktu itu dalam rahim UMNO sebagai embrio, dalam bentuk Biro Agama UMNO telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Islam SeMalaya (Pas) pada tahun 1951.

"75 tahun kemudiannya pada tahun 2026, ternyata Pas di bawah Presidennya Abdul Hadi Awang telah menyerah kalah dan kembali kepada UMNO," katanya.

Hassan turut mengkritik kerjasama berkenaan dengan membangkitkan beberapa isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah termasuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Tabung Haji dan Felda.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat mempunyai kuasa menentukan hala tuju politik negara menerusi PRU16, termasuk memilih antara gabungan parti berasaskan nilai dengan politik yang menurutnya berteraskan sentimen perkauman.

"Dalam senario yang dinyatakan di atas, maka akan sampailah masanya pada PRU-16 akan datang bagi rakyat Malaysia memutuskan apakah tiga parti politik pelbagai kaum, gabungan dalam PH yang menjunjung perjuangan berasaskan nilai keadilan, amanah dan demokrasi untuk seluruh rakyat Malaysia akan ditolak untuk diganti dengan gabungan politik yang berideologikan sentimen perkauman dengan rekod rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah yang berskala global?

"Kuasa pada tangan rakyat. Rakyatlah yang akan dapat kerajaan yang dipilihnya sendiri," katanya.