PRU16: PN intai peluang rampas 28 kerusi PH, elak tiga penjuru

Iklan
Ahmad Samsuri ketika berucap sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Arena Square, Dungun pada malam Khamis.

DUNGUN: Perikatan Nasional (PN) melihat peluang cerah untuk merampas semula kerusi Parlimen yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH), termasuk beberapa kerusi milik DAP, sekiranya pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penyelarasan kerusi melalui muafakat politik yang kukuh mampu mengelakkan perpecahan undi sekali gus membuka laluan kepada gabungan itu untuk menawan Putrajaya.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, terdapat 28 kerusi Parlimen yang dimenangi PH, termasuk sekurang-kurangnya 10 kerusi milik DAP yang berpotensi ditawan semula sekiranya rundingan pembahagian kerusi dilaksanakan secara teratur tanpa pertembungan sesama parti pembangkang.

"Sebanyak 28 kerusi dimenangi PH dan sekiranya tiada pertandingan tiga penjuru, kita berpeluang untuk menang serta merampas semula kerusi tersebut.

Iklan

"Sekurang-kurangnya terdapat 10 kerusi DAP di peringkat Parlimen yang boleh dimenangi jika muafakat politik ini disusun dengan kemas.

"Kita perlu melihat objektif yang lebih besar. Insya-ALLAH, kita mampu mengawal keadaan kerana mudarat akibat kegagalan bermuafakat adalah lebih besar," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Terengganu itu mengingatkan ahli serta pimpinan parti di semua peringkat supaya mengetepikan kepentingan peribadi demi memastikan kemenangan gabungan.

Menurutnya, penyertaan dalam politik tidak seharusnya didorong semata-mata oleh hasrat untuk menjadi calon pilihan raya, sebaliknya perlu berteraskan matlamat memperkukuh parti dan memastikan kemenangan pasukan.

"Bukan kepentingan individu, Ketua Bahagian atau Yang Dipertua Pas semata-mata yang perlu diutamakan.

"Menjadi calon bukanlah objektif utama menyertai politik. Jika seseorang menyertai parti hanya kerana mahu menjadi calon, keadaan akan menjadi sukar.

"Oleh itu, kepentingan diri perlu diketepikan dan kita perlu berbincang bagaimana memastikan kerusi tertentu dapat dimenangi," katanya.

Mengulas hala tuju gabungan itu, Ahmad Samsuri berkata kejayaan mentadbir Terengganu hanyalah satu episod dalam perjuangan politik PN sebelum melangkah ke pentadbiran Persekutuan.

"Memimpin Terengganu hanyalah satu episod dalam perjuangan ini dan ia tidak berakhir di situ. Langkah seterusnya adalah menuju Putrajaya.

"Insya-Allah, semua yang hadir malam ini memahami hasrat tersebut. Kita juga berharap rakan-rakan dalam muafakat politik dapat melihat keutamaan sebenar yang perlu diberikan perhatian menjelang PRU16," ujarnya.

Pada masa sama, beliau menggesa kepimpinan parti supaya memberi lebih banyak ruang kepada generasi muda, khususnya golongan berusia 18 tahun ke atas yang kini menjadi sebahagian daripada kelompok pengundi utama negara.

Katanya, pandangan dan aspirasi golongan muda perlu diberi perhatian kerana mereka memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju serta masa depan negeri dan negara.

Beliau berkata, parti juga perlu sentiasa bersedia menyesuaikan pendekatan selaras dengan perubahan demografi pengundi serta bersikap terbuka terhadap pandangan dan teguran generasi baharu.

Selain itu, beliau menyeru seluruh ahli dan jentera parti supaya menjadikan khidmat kebajikan kepada rakyat sebagai budaya berterusan dan bukan hanya dilaksanakan menjelang pilihan raya.

"Kekuatan sesebuah parti bukan sekadar bergantung kepada sokongan pengundi, sebaliknya perlu dibina melalui tarbiah, pembentukan akhlak, budaya ilmu, persaudaraan serta amalan musyawarah," katanya.