KUANTAN- Seekor harimau kumbang betina berjaya diselamatkan selepas ditemui dalam keadaan cedera di sebuah ladang di Sri Jaya, Maran.
Pengarah Perhilitan Pahang Yusoff Shariff berkata, haiwan seberat 18.4 kilogram dianggarkan berusia empat tahun itu ditemui pekerja ladang terbabit, Isnin lalu.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, satu operasi dijalankan bagi menyelamat hidupan liar itu.
"Hasil pemeriksaan awal di lapangan mendapati harimau kumbang yang diberi nama ‘Mek Seri’ itu berada dalam keadaan fizikal yang baik tanpa luka serius atau patah tulang.
"Walau bagaimanapun, ia dikesan mengalami kesukaran untuk berjalan seperti biasa,"katanya ketika dihubungi.
Yusoff berkata, bagi memastikan keselamatan dan kebajikannya terjamin, Mek Seri tidak sesuai untuk dilepaskan semula.
"Buat masa ini haiwan itu telah dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan serta pemantauan lanjut," ujarnya.