KUALA LUMPUR - Pelaksanaan subsidi bersasar bahan api tidak menyebabkan kenaikan ketara harga barangan keperluan asas dan tambang pengangkutan awam, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
KPDN memaklumkan penyaluran subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) mengambil kira kesan terhadap kos pengangkutan barangan keperluan asas, tambang pengangkutan awam darat serta pengangkutan feri dan bot penumpang.
"Berdasarkan pemantauan yang dijalankan terhadap harga barang keperluan asas dan tambang pengangkutan awam, tiada kenaikan harga yang ketara dilaporkan susulan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api bermula 10 Jun 2024 (SKDS) dan 30 September 2025 (SKPS),” menurut KPDN dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin mengetahui penilaian keberkesanan subsidi bersasar bahan api terhadap kos operasi pengangkutan barangan dan harga pengguna, selain mekanisme intervensi sekiranya penjimatan fiskal kerajaan dipindahkan kepada rakyat melalui kenaikan harga barang.
Menurut KPDN, lebih 850 Pegawai Pemantau Harga (PPH) digerakkan setiap hari untuk mengumpul data harga barangan di lebih 2,000 premis seluruh negara, yang dianalisis bagi mengesan perubahan harga tidak munasabah sebagai sistem amaran awal.
KPDN memaklumkan maklumat harga turut dikongsi dengan pengguna menerusi aplikasi PriceCatcher bagi membolehkan pengguna mengetahui kedudukan harga pasaran dan membuat pilihan pembelian secara bijak.
Selain membanteras ketirisan dan penyelewengan, penyasaran subsidi bahan api kepada sektor pengangkutan terlibat turut menjadi intervensi kerajaan dalam menangani kos sara hidup, yang membantu meminimumkan kesan kenaikan terhadap kos pengangkutan sekali gus memastikan kestabilan harga barangan.
KPDN menyatakan tindakan penguatkuasaan terus diperkukuh bagi mencegah manipulasi harga dan pencatutan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) termasuk meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan supaya penyasaran subsidi bahan api tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang serta melindungi kepentingan pengguna.
Sebagai mekanisme intervensi, KPDN turut melaksanakan Ops Kesan secara bersiri apabila berlaku perubahan dasar atau perkembangan ekonomi yang berpotensi mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan.
"Sehingga tahun 2026, sebanyak enam siri Ops Kesan telah diperkenalkan termasuk Ops Kesan 2.0 susulan penyasaran subsidi diesel dan Ops Kesan 6.0 bagi menangani risiko pencatutan akibat tekanan kos global.
"Melalui operasi ini, KPDN memantau keseluruhan rantaian bekalan dan boleh mengeluarkan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21, Akta 723 bagi meneliti perubahan kos serta margin keuntungan. Sekiranya terdapat bukti pencatutan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang terlibat,” menurut KPDN. - Bernama