'Selalu dia minum Nescafe ais, hari ini dia minta Nescafe panas' - Balu polis maut

Iklan
Balu Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob,26, iaitu Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Perkarangan Forensik Hospital Tapah sebelum jenazah dibawa ke Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk disolatkan hari ini. - Bernama

TAPAH - Permintaan Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob untuk menikmati secawan Nescafe panas pagi tadi menjadi kenangan terakhir buat isterinya Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, sebelum anggota polis itu maut dalam nahas van polis di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah hari ini.

Nor Ilyanie berkata kebiasaannya beliau menyediakan Nescafe ais untuk suaminya, terutama apabila Allahyarham perlu bertugas atau melakukan perjalanan jauh.

Iklan
Iklan

"Dia cuma minta Nescafe dan selalunya kalau dia berjalan jauh demi tugasnya, saya akan bekalkan dia Nescafe selain bekal makanan.

"Saya dah buat Nescafe ais namun apa yang dia minta adalah Nescafe panas sebab selalunya memang dia minum Nescafe ais tapi tak tahu kenapa pagi tadi dia nak Nescafe panas. Dia kata tak mengapalah jika sudah buat,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah Allahyarham di Surau Al-Ehsaniah, Kompleks Perumahan PDRM Tapah di sini hari ini.

Iklan

Mengenang arwah suaminya, Nor Ilyanie berkata Allahyarham seorang yang sangat baik dan penyayang serta sentiasa mengambil berat tentang dirinya, selain tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan anak.

"Dia selalu menjaga saya, tanya makan macam mana, dekat pejabat macam mana, nak tidur pun begitu.

Iklan

"Sebab saya selalu mengadu sakit belakang, dia selalu urut saya malam-malam untuk pastikan tidur saya tidak terganggu,” katanya

Nor Ilyanie berkata beliau mendapat tahu mengenai nahas yang meragut nyawa suaminya itu daripada rakan-rakan Allahyarham yang menghubunginya selepas kejadian itu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 12 April 2024 dan dikurniakan seorang anak lelaki Muhammad Akif Irsyad Muhammad Shahrul Alif yang kini berusia enam bulan.

Terdahulu, Muhammad Shahrul yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan yang memuatkan 11 penumpang selepas terbabas dalam kejadian pada 11.35 pagi itu.

Sebanyak 10 lagi anggota polis yang menaiki van berkenaan cedera, dengan empat daripadanya parah dan enam mengalami kecederaan ringan. - Bernama