SPRM perkukuh kerjasama antirasuah di peringkat ASEAN

Iklan
Abd Halim (lima dari kiri) bergambar bersama ketua dan wakil agensi antirasuah negara anggota ASEAN sempena Mesyuarat Prinsipal ASEAN-PAC Ke-22 yang berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar baru-baru ini. Foto SPRM

PUTRAJAYA – Kerjasama antirasuah di peringkat ASEAN terus diperkukuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi penyertaan dalam Mesyuarat Prinsipal ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-22 yang berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Mesyuarat pada 10 dan 11 November lalu itu bertemakan 'Upholding Youth Integrity: Building a Corruption-Free Future' dengan menghimpunkan ketua dan wakil agensi antirasuah negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam usaha membudayakan integriti dalam kalangan generasi muda.

Iklan
Iklan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman turut menyampaikan ucapan dalam mesyuarat berkenaan selaku Pengerusi ASEAN-PAC bagi penggal kepengerusian Malaysia dari Oktober 2025 hingga Julai 2026, sebelum tanggungjawab kepengerusian diserahkan kepada Myanmar.

Ucapan pembukaan turut disampaikan oleh Pengerusi Anti-Corruption Commission of Myanmar (ACC), TYT Soe Thein, manakala mesyuarat dipengerusikan oleh Pesuruhjaya ACC, TYT Kyaw Win Thein.

Iklan

Selain itu, dua cadangan yang diperkenalkan SPRM semasa Mesyuarat Sekretariat ASEAN-PAC Ke-22 di Melaka pada Julai 2026 turut mendapat persetujuan dan pengesahan mesyuarat, iaitu penggunaan templat standard bagi Kompilasi Amalan Terbaik Pelaksanaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) bagi menyeragamkan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan agensi anggota.

Cadangan kedua pula ialah menjadikan lagu 'Together Against Corruption' sebagai Lagu ASEAN-PAC untuk dimainkan dalam mesyuarat dan acara rasmi ASEAN-PAC pada masa hadapan.

Iklan

Persetujuan terhadap kedua-dua cadangan berkenaan mencerminkan peranan aktif Malaysia dalam memperkukuh kerjasama serantau serta memantapkan ASEAN-PAC sebagai platform kerjasama antirasuah dalam kalangan negara anggota.

Dalam mesyuarat sama, SPRM turut membentangkan laporan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia, merangkumi pelbagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan agensi antirasuah serantau.

Menerusi sesi pembentangan negara (Country Presentation), Malaysia berkongsi pendekatan SPRM dalam memperkasakan integriti belia melalui pendidikan dan penglibatan pelbagai pihak.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Wira Anti Rasuah (WAR), Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR), Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR), Kor SUAR serta platform pembelajaran digital MACCAMPUS.

Selain itu, SPRM turut mengadakan demonstrasi secara langsung bagi memperlihatkan penambahbaikan terhadap Portal ASEAN-PAC yang merangkumi reka bentuk lebih kemas, navigasi mesra pengguna serta penyusunan maklumat yang lebih sistematik bagi memperkukuh perkongsian maklumat serantau.

Mesyuarat turut disertai wakil organisasi antarabangsa, iaitu United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) dan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) secara maya.

Penyertaan SPRM dalam mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama antirasuah di peringkat ASEAN, khususnya melalui perkongsian kepakaran, pembangunan integriti belia dan pemerkasaan jaringan strategik serantau.