Kes positif di Selangor Mansion masih terkawal: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kes positif koronavirus (Covid-19) di Selangor Mansion masih terkawal meskipun berlaku pertambahan kes di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Selangor Mansion telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pihaknya akan memaklumkan jika kawasan tersebut perlu disambung PKPD atau sebaliknya.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini kita sudah ‘lockdown’ kawasan ini, jadi lebih mudah dari segi kawalan. Kalau kita lihat di Simpang Renggam misalnya apabila ada kenaikan kes positif maka kita akan sambung dari segi tempoh PKPD tersebut begitu juga di tempat lain.

"Walau bagaimanapun perkara ini akan kita bincangkan sebab akhirnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan nasihat kepada kita sebelum kita membuat satu-satu keputusan,” katanya katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Iklan

Mengulas mengenai respon kedutaan luar berikutan ramai rakyat asing yang berada di kawasan tersebut beliau berkata, Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat mereka sentiasa terjaga.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan yang melibatkan zon hijau, kuning dan merah.

Iklan

Katanya, selain di dalam kawasan, MKN juga akan menyediakan SOP melibatkan aspek pergerakan di kawasan-kawasan berkenaan sama ada dari dalam ke luar dan sebaliknya.

"Kita perlu kawal sempadan-sempadan kawasan ini kerana kita tidak mahu ada dalam kalangan mereka daripada zon merah memasuki zon hijau dan kita perlu tahu sejauh mana kelonggaran itu boleh diberikan kepada mereka.

"Jadi sebab itulah kita mengarahkan MKN bincang dengan KKM dan PDRM untuk keluarkan SOP khusus di ketiga-tiga kawasan ini dan akan dibentangkan dalam masa terdekat di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri,” katanya.