PETALING JAYA - Seorang doktor pergigian didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menggaji individu tidak berdaftar sebagai pengamal pergigian serta membenarkannya menjalankan rawatan pergigian di klinik miliknya, dua tahun lepas.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor menjatuhkan hukuman denda RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM40,000 bagi pertuduhan kedua terhadap Dr Tong Soo Huan, 38, atau masing-masing enam dan tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda.
Dr Tong selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa menggaji seorang bukan pengamal pergigian yang berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 di sebuah klinik pergigian di Jalan SS21/1, dekat sini, pada 12.50 tengah hari, 6 Mei 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 68 Akta Pergigian 2018 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.
Dia turut didakwa membenarkan individu tidak berdaftar di bawah akta itu menjalankan amalan pergigian di klinik miliknya pada masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 69(a) akta serupa yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada 6 Mei 2024, sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjalankan pemeriksaan di klinik milik Dr Tong dan mendapati seorang kakitangan wanita sedang melakukan imbasan gigi seorang pesakit menggunakan peralatan pengimbas gigi intraoral iTero Element.
Pemeriksaan mendapati kakitangan itu tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) sebagai pengamal pergigian manakala OKS yang merupakan pengamal pergigian berdaftar gagal mengemukakan sijil pengamalan tahunan kakitangan berkenaan apabila diminta pegawai penguat kuasa.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Haznita Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda tinggi bagi kedua-dua pertuduhan atas faktor kepentingan awam dan keselamatan pesakit memandangkan kesalahan itu serius yang menyentuh integriti profesion pergigian.
"OKS bukan sahaja gagal memastikan pengamal pergigian berdaftar bertugas sepanjang waktu operasi klinik, malah dengan sengaja mengarah dan membenarkan kakitangan klinik yang hanya berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalankan amalan pergigian iaitu intraoral scanning menggunakan alat peranti perubatan khas di premis milik OKS.
"Prosedur imbasan mulut menggunakan alat imbasan intraoral (iTero Element) memerlukan pengendalian berpengetahuan tinggi. Berdasarkan keterangan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, alat itu hanya boleh dikendali oleh pengamal perubatan atau pergigian berkelayakan," katanya.
Dr Haznita berkata, hukuman dijatuhkan harus memberi mesej dan pengajaran tegas kepada OKS serta seluruh komuniti pengamal pergigian di Malaysia agar tidak mengambil jalan pintas mengurangkan kos atau mengabaikan undang-undang dengan menyerahkan tugasan klinikal kepada kakitangan yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas.
Bagaimanapun, peguam Rejinder Singh yang mewakili Dr Tong memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan di bawah Akta Pergigian 2018 sebelum ini.
"Kesalahan yang dilakukan merupakan satu kesalahan teknikal dan tiada sebarang unsur jenayah kerana ketika kejadian, seorang pesakit telah datang untuk mendapatkan rawatan ketika Dr Tong sedang keluar makan.
"OKS sedar mengenai tindakannya dan kesal kerana tidak lebih berwaspada dalam mengawal kakitangan klinik. Beliau berjanji akan memastikan sistem kawalan yang lebih ketat selepas ini," kata peguam itu.- Bernama