BERMULA sebagai sebuah perkampungan nelayan dan pertanian lebih 40 tahun yang lalu, Shenzhen yang turut menerima jolokan sebagai Lembah Silikon China serta menjadi bandar industri paling maju di negara itu.
Faktor utama kejayaan adalah kerana keberanian untuk meneroka, mencuba dan merintis bidang teknologi serta melakukan inovasi berterusan.
Antara syarikat terkenal ialah pembuat peralatan telekomunikasi, Huawei; pengeluar kereta elektrik, BYD; peneroka permainan video dan media sosial, Tencent termasuk pengeluar produk dron serta fotografi, DJI.
Timbalan Pengarah Biro Inovasi Sains dan Teknologi Shenzhen, Xia Lei berkata, pada masa lalu tidak terdapat sebuah universiti, institut penyelidikan atau syarikat teknologi di bandar tersebut.
“Namun hari ini, pembangunan industri teknologi tinggi Shenzhen telah menjadi contoh kepada seluruh China.
“Jumlah perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan seluruh masyarakat mencapai 275 bilion yuan.
“Shenzhen mempunyai lebih 26,000 syarikat teknologi tinggi, 47 syarikat unicorn dan 628 syarikat tersenarai.
“Bandar ini turut menjadi lokasi beberapa syarikat yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” kata kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini.
Jelas beliau, jika dilihat semula sejarah pembangunan industri teknologi Shenzhen, ia bermula dengan usaha menarik teknologi dari luar bagi membina asas inovasi.
“Kami beralih kepada inovasi bersepadu dan pembangunan industri teknologi tinggi.
“Seterusnya, Shenzhen melaksanakan inovasi kendiri dan membangunkan bandar berasaskan inovasi. Kini, kami sedang mempercepat inovasi dalam bidang teknologi termaju untuk membina pusat inovasi teknologi industri yang mempunyai pengaruh global,” ujarnya.
Mengulas lanjut Lei berkata, sepanjang perjalanan itu, mereka membangunkan sistem inovasi yang menjadikan syarikat sebagai peneraju, pasaran sebagai panduan dan permintaan sebagai pemacu.
“Kami juga mengintegrasikan industri, universiti dan institusi penyelidikan secara lebih mendalam. Ini membolehkan inovasi teknologi dan inovasi industri berkembang secara bersama,” katanya.
Beliau berkata, terdapat empat faktor utama yang membolehkan China mengalami pembaharuan pesat dalam teknologi dan ekonomi.
“Pertama ialah mengutamakan ekonomi sebenar. Sektor pembuatan merupakan asas sejarah dan kekuatan utama Shenzhen. Nilai tambah sektor perindustrian Shenzhen secara konsisten menyumbang lebih 30 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).
“Kedua ialah mengambil pendekatan berdasarkan kelebihan tempatan. Huaqiangbei di Shenzhen merupakan antara pasaran perdagangan produk elektronik terbesar di dunia.
“Kami memanfaatkan kelebihan sumber yang dimiliki dan memberi tumpuan kepada industri elektronik dan teknologi maklumat. Kami membangunkan ekosistem industri dan inovasi yang membolehkan banyak syarikat teknologi baharu berkembang.
“Atas sebab itu, Shenzhen dikenali di seluruh dunia sebagai pusat produk elektronik pengguna.
“Ketiga ialah mengamalkan prinsip pembangunan jangka panjang. Inovasi sains dan teknologi memerlukan usaha yang berterusan serta kesabaran. Kami menghormati proses pembangunan inovasi teknologi dan industri.
“Kami berpegang kepada prinsip kemajuan yang stabil dan tidak tergesa-gesa mengejar hasil dalam tempoh singkat. Kami memberikan sokongan jangka panjang kepada syarikat untuk berkembang.
“Sebagai contoh, BYD ditubuhkan pada 1994. Selepas lebih 30 tahun memberi tumpuan kepada teknologi teras tenaga baharu dan automotif, syarikat itu kini menjadi penanda aras global dalam industri kenderaan tenaga baharu.
“Keempat ialah mewujudkan ekosistem inovasi yang kondusif. Shenzhen merupakan hasil daripada dasar pembaharuan dan keterbukaan China,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang lebih 40 tahun, mereka terus melaksanakan pembaharuan dan memperbaiki persekitaran perniagaan yang berasaskan pasaran, undang-undang serta piawaian antarabangsa.
“Kami membangunkan sistem rantaian bekalan yang cekap dan sistem kewangan yang mampu menyokong perkembangan syarikat. Semua ini mewujudkan ekosistem keusahawanan dan inovasi yang terbaik,” jelas Lei.