SHAH ALAM - Rebat sehingga RM100,000 ditawarkan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menerusi penganjuran EON Auto Finale 2026 yang menghimpunkan sembilan jenama automotif.
Acara tersebut menampilkan kenderaan daripada jenama Proton, Proton e.MAS, smart, Mitsubishi, Isuzu, Audi, Volkswagen, Hyundai dan Zeekr.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, penganjuran acara tersebut bukan sahaja menawarkan tawaran pembelian menarik, malah menyediakan kemudahan dan penyelesaian menyeluruh bagi memenuhi keperluan pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
Menurutnya, pelanggan masa kini bukan sekadar mencari tawaran harga terbaik, sebaliknya turut mengutamakan pilihan, kemudahan serta keyakinan ketika membuat keputusan pembelian.
"EON Auto Finale menawarkan ketiga-tiga elemen itu menerusi tawaran hujung tahun yang menarik serta penyelesaian pemilikan kenderaan yang direka untuk memberikan nilai dan fleksibiliti lebih baik kepada pelanggan.
"Dengan ekosistem menyeluruh EON yang merangkumi setiap peringkat pemilikan kenderaan, kami bukan sekadar menjual kereta, malah memberikan ketenangan fikiran sepanjang perjalanan pemilikan tersebut," katanya dalam kenyataan.
Selain kenderaan baharu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pilihan kereta terpakai daripada Avis dan kumpulan kenderaan milik EON yang diselenggara serta diservis secara berkala.
EON Auto Finale 2026 turut menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk pembiayaan pembelian kenderaan dan jaminan lanjutan daripada Tras, penyewaan kenderaan menerusi Avis dan Budget Malaysia, perlindungan insurans oleh EON Insurance serta perkhidmatan penjagaan kenderaan EON AutoSpa.
Bagi menarik lebih ramai pelanggan, 300 pendaftar terawal berpeluang menerima ganjaran pembeli awal termasuk 10 hadiah kamera papan pemuka bernilai RM300 setiap satu.
Pengunjung yang membuat pendaftaran masuk di lokasi acara di Glenmarie juga berpeluang memenangi ganjaran segera.
Dalam perkembangan sama, pelanggan yang membuat tempahan kenderaan di cawangan EON terpilih di seluruh negara sepanjang tempoh kempen berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM20,000.
Tiga pemenang turut bakal menikmati pengalaman pemanduan eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang, termasuk sesi pemanduan di litar bersama pemandu profesional.
Acara berkenaan turut disertai beberapa rakan strategik termasuk PUSPAKOM, Bank Muamalat dan MODENAS yang mempamerkan motosikal Kawasaki serta MODENAS selain menawarkan peluang tunggang uji.
Sementara itu, kempen berkenaan akan diteruskan menerusi EON Auto Finale 2026 Edisi Pulau Pinang di bilik pameran EON Auto Mart Bayan Lepas pada 21 dan 22 November ini.
Edisi berkenaan menampilkan model terpilih serta promosi daripada Proton, Mitsubishi, Hyundai, Audi dan Isuzu, selain perkhidmatan penyewaan kenderaan oleh Avis Budget Malaysia.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara dan pendaftaran ganjaran pembeli awal menerusi laman web www.eon.com.my.