Tiada istilah 'abang long', Pejuang tidak rasa seperti 'adik-adik' dalam PN - Mukhriz

Iklan
Mukhriz menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pejuang di IDCC Shah Alam pada Ahad. - FOTO: Rosli Talib

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak pernah berasa seperti 'adik-adik' dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menganggap semua parti komponen diberikan ruang dan layanan sama rata.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Pejuang sentiasa diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan serta terlibat dalam perbincangan dan perancangan strategi bersama kepimpinan PN.

Iklan
Iklan

"Setiap kali kami dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas dalam PN yang dipimpin oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri, kita diberikan ruang dan peluang seluas-luasnya untuk menyuarakan pandangan.

"Tidak ada sifat 'abang long' dan kita tidak berasa seperti 'adik-adik'. Dalam perjumpaan seperti itu, kita bebas bertukar-tukar fikiran dan idea serta merangka strategi bersama untuk mengatasi masalah yang dihadapi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Pejuang 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.

Mukhriz berkata, kerjasama antara parti dalam PN turut terbukti apabila gabungan itu berjaya menangani cabaran berkaitan status pendaftarannya sehingga membolehkan persiapan menghadapi pilihan raya diteruskan.

Iklan

Menurutnya, strategi kepimpinan PN dalam menangani isu berkenaan disifatkan tepat dan membuahkan hasil.

Beliau turut berharap semua parti komponen PN dapat memperoleh kemenangan dalam pilihan raya akan datang, termasuk rakan gabungan yang belum memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, PN kini perlu memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRN di negeri-negeri lain, selain memperkukuh kerjasama antara parti komponen.

Mengulas kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Mukhriz berkata, pencapaian yang diraih setakat ini membanggakan, namun ia tidak bermakna kedua-dua pihak perlu bersetuju dalam semua perkara.

Jelasnya, masih terdapat beberapa perbezaan pandangan yang perlu diperhalusi bagi memastikan kerjasama politik itu terus diperkukuh.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengutamakan kepentingan rakyat, mengetepikan kepentingan diri serta terus bersatu dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap negara.