MELAKA - Polis Melaka akan meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan dikenal pasti sebagai kawasan panas antaranya Seri Bendahara, Seri Negeri dan Istana Melaka bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini selepas pilihan raya negeri berakhir.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lokasi yang merupakan premis penting dalam pentadbiran kerajaan negeri itu dijangka menjadi tumpuan kumpulan penyokong parti politik selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diumumkan.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: 240 pusat mengundi dibuka serentak jam 8 pagi
PRN Melaka: Warga emas tidak lena tidur teruja mahu raikan pesta demokrasi
PRN Melaka: Selesai mengundi, Ab Rauf ingatkan pengundi jangan tunggu petang
PRN Melaka: Selepas 14 tahun, empat beranak asal Kelantan pertama kali undi di Melaka
PRN Melaka: Diserang strok ketika memandu, Syamsinar tetap gigih mengundi
PRN Melaka: Bergegas mengundi, apron berniaga pun tak sempat ditanggalkan
Sehubungan itu, beliau berkata, lebih 1,000 anggota polis akan ditempatkan di beberapa lokasi penting termasuk di sekitar kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keamanan dan keadaan stabil selepas pilihan raya negeri berakhir pada Sabtu.
"Secara keseluruhan, pada hari ini (Sabtu), sebanyak 3,632 anggota dan pegawai polis digerakkan di seluruh Melaka bagi memantau dan memastikan keselamatan dan kelancaran proses pengundian PRN Melaka ke-16 yang berlangsung pada Sabtu.
"Jumlah keanggotaan itu tidak termasuk 300 anggota trafik yang ditugaskan mengawal aliran kenderaan yang dijangka meningkat ekoran kemasukan kenderaan (pengundi) luar dari Melaka yang pulang mengundi," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja, Ayer Molek di sini pada Sabtu.
Dzulkhairi berkata, kesemua anggota berkenaan digerakkan seawal jam 4 pagi pada Sabtu untuk memantau 240 pusat pengundian di seluruh Melaka melibatkan 1,213 saluran.
Beliau berkata, Polis Melaka juga menerima bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan Negeri Sembilan dan Unit Tindakan Rusuhan Awam serta Pasukan Gerakan Am.
Selain itu katanya, polis menerima 37 laporan berkaitan PRN Melaka dan 28 kertas siasatan dibuka bermula dari tempoh hari penamaan calon pada 31 Oktober hingga Jumaat.
Beliau berkata, kebanyakan kesalahan yang dilaporkan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 25 kertas siasatan telah dihantar ke timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Beliau turut mengingatkan penyokong parti politik agar menerima segala keputusan PRN dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan sebarang insiden atau mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
"Kepada penyokong parti yang menang, mereka boleh meraikannya tetapi secara terkawal dan berhemah termasuk jangan menunggang motosikal secara berkumpulan di banyak lokasi di Melaka seperti yang tular di media sosial malam tadi.
"Kita dapat lihat perbuatan itu menyebabkan kesesakan trafik sehingga ada pengguna jalan raya yang terperangkap hampir tiga jam, sekali gus mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya. - Bernama