ALOR GAJAH - Teruja untuk menyertai proses demokrasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Sabtu, pasangan suami isteri Lew Chee Phin, 66, dan Tan Siw Choo, 62, sanggup hadir seawal 7 pagi ke pusat mengundi, biarpun proses pengundian hanya bermula jam 8 pagi.
Ditemui di luar pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Jeram di Masjid Tanah di sini, Lew berkata, dia dan isteri bangun seawal 5 pagi untuk melakukan persiapan keluar mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
"Dari malam tadi pun tidak lena tidur kerana teruja untuk mengundi, kami sangat seronok kerana ketiga-tiga anak kami juga pulang untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya.
Lew berkata, sudah menjadi rutinnya dan isteri, yang telah mengundi pada lapan siri PRN, untuk sentiasa hadir awal ke pusat pengundian.
"Kami berniaga kedai runcit di Masjid Tanah, kedai mesti buka jam 9 pagi, jadi kami mahu selesai mengundi cepat, baru gembira dan tenang apabila buka kedai nanti,” katanya.
Pada PRN kali ini, DUN Tanjung Bidara menyaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN) yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berhadapan saingan satu lawan satu menentang calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri. - Bernama