Mahkamah tolak permohonan cucu pengasas Genting singkir pentadbir harta pusaka

Iklan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR -  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan anak lelaki kepada mendiang waris perempuan Genting, Lim Siew Kim untuk menyingkirkan dua pentadbir sementara yang menguruskan harta pusaka bernilai RM1.6 bilion.

Hakim Datuk Mahazan Mat Taib menolak permohonan Marcus Chan Jau Chwen terhadap peguam Datuk S. Satharuban dan Khoo Siew Kiat, serta memerintahkan beliau membayar kos RM30,000 kepada kedua-dua pentadbir itu.

Iklan
Iklan

Mahkamah juga membatalkan injunksi sementara yang menghalang mereka daripada bertindak sebagai pentadbir harta pusaka itu sekali gus membenarkan mereka menyambung semula tugas masing-masing di bawah pengawasan mahkamah.

Semasa prosiding, hakim berkata, Marcus gagal membuktikan wujudnya salah laku, pelanggaran tugas yang berterusan, konflik kepentingan yang mewajarkan penyingkiran, atau keadaan lain yang cukup serius sehingga menjustifikasikan penyingkiran mereka.

Iklan

"Kewajipan mereka untuk merekodkan aset harta pusaka, mematuhi perintah pelantikan, serta mengemukakan kos dan upah mereka untuk semakan, kekal tidak terjejas,” katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan campur tangan dalam syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan harta pusaka tersebut, Mahazan berkata, pentadbir harta pusaka tidak berhak mengklasifikasikan liabiliti syarikat-syarikat berkenaan sebagai hutang harta pusaka, semata-mata atas dasar bahawa Siew Kim memegang saham dalam entiti-entiti tersebut.

Iklan

Beliau berkata, pentadbir harta pusaka tetap bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan harta pusaka, yang mungkin merangkumi usaha mendapatkan maklumat berkaitan serta mengambil tindakan yang sah di sisi undang-undang bagi melindungi nilai pegangan saham berkenaan.

Bagaimanapun, hakim memutuskan bahawa keterangan yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan wujudnya campur tangan yang menyalahi undang-undang dalam urusan syarikat atau penyalahgunaan dana harta pusaka yang mewajarkan penyingkiran pentadbir-pentadbir itu.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu tidak menyentuh kesahihan wasiat Siew Kim mahupun menentukan hak penerima-penerima harta pusaka.

Siew Kim, yang meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 ketika usia 73 tahun, meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki dan harta pusaka beliau kini diuruskan oleh pentadbir sementara di tengah-tengah pertikaian keluarga yang masih berlanjutan berhubung kesahihan wasiat beliau.

Mahkamah Tinggi pada 27 November 2023 melantik peguam Datuk Satharuban Sivasubramaniam dan Khoo Siew Kiat sebagai pentadbir untuk menguruskan harta pusaka tersebut.

Mereka mengambil alih pentadbiran itu selepas dua anak perempuan Siew Kim, iaitu Chan T’shiao Li dan Kimberly Chan T’shiao Miin, memfailkan saman probet pada 19 Jan 2023 bagi mencabar kesahihan satu wasiat yang didakwa telah disempurnakan pada 28 April 2022.

Marcus, yang merupakan satu-satunya anak lelaki Siew Kim dan penerima manfaat sebanyak 30 peratus daripada baki harta pusaka, memohon agar kedua-dua pentadbir tersebut disingkirkan, dengan mendakwa berlakunya salah laku serta kegagalan mematuhi perintah mahkamah berhubung pelantikan mereka.

Antara aduan beliau ialah dakwaan bahawa bayaran tertentu telah dibuat kepada peguam dan pihak lain menerusi akaun bank peribadi dan bukannya menerusi akaun amanah yang disatukan; dana harta pusaka berkurangan akibat pembayaran tidak sah; serta pentadbir telah campur tangan dalam pengurusan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan harta pusaka tersebut.

Beliau seterusnya mendakwa bahawa pentadbir hampir menyebabkan harta pusaka itu menanggung bayaran taksiran berjumlah RM4.73 juta bagi pihak Prominview Sdn Bhd, walaupun liabiliti tersebut didakwa terletak di bawah tanggungjawab rakan usaha sama.

Aduan lain termasuklah tindakan memasukkan kaveat persendirian dan menjalankan penilaian hartanah, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengagihkan atau melupuskan aset harta pusaka.

Pada 23 Jan 2026, Marcus memperoleh injunksi sementara yang menghalang pentadbir berkenaan daripada bertindak bagi pihak harta pusaka sementara menunggu penyelesaian permohonan penyingkiran mereka.- Bernama