SERKAM – Insentif pendidikan kepada anak muda yang melanjutkan pengajian ke universiti antara tawaran tambahan diketengahkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Man Dollah berkata, inisiatif itu merupakan komitmen khusus kepada penduduk kawasan berkenaan sekiranya beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menurut Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Melaka itu, beliau kini giat turun padang untuk meneliti serta memberikan penerangan mengenai manifesto BN kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan muda dan warga emas.
"Ini tawaran kita kepada masyarakat dan BN tidak akan mungkir janji. Saya meneliti manifesto ini serta memberikan penerangan kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, selain insentif khusus di peringkat DUN, manifesto BN turut merangkumi pelbagai bantuan mengikut keperluan rakyat pada setiap peringkat kehidupan.
Antaranya, pemberian simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara sekali bayar kepada anak yang dilahirkan bermula 1 Januari 2027 serta bantuan sekali bayar kepada anak muda daripada keluarga B40 yang mengikuti program pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
BN turut menawarkan 25,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda selain meneruskan bantuan kebajikan kepada warga emas.
Azman berkata, penambahbaikan infrastruktur asas termasuk sistem perparitan, jalan raya dan lampu jalan antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian di DUN berkenaan.
Beliau juga mahu potensi Pantai Siring diperkasakan sebagai destinasi pelancongan menerusi usaha menyemak semula perancangan terdahulu berkaitan pengambilan tanah bagi menyediakan kemudahan lebih baik kepada pengunjung.
Dalam sektor pertanian, Azman turut memberi perhatian kepada nasib pesawah di Sawah Tedong dengan memastikan sistem pengairan dan saliran ditambah baik bagi meningkatkan hasil tanaman padi.
Katanya, beberapa projek berkaitan pembinaan empangan dan saliran sedang dilaksanakan bagi membantu meningkatkan keupayaan pengeluaran padi di kawasan berkenaan.
"Sawah Tedong merupakan satu-satunya kawasan penanaman padi di DUN Serkam dengan lebih 10 pesawah mengusahakan tanaman berkenaan, kebanyakannya menggunakan tanah yang dipajak.
"Saya berazam memastikan kemudahan empangan dan saliran yang sedang dilaksanakan dapat membantu mereka mengusahakan sawah dua kali setahun," katanya.