KUALA LUMPUR - Dengan potensi kemenangan yang semakin menipis dengan hanya menyasarkan 15 peratus undi popular pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Bersama menunjukkan matlamat sebenar parti pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli itu untuk membalas dendam.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, tindakan membalas dendam tersebut pastinya ditujukan kepada semua parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) terutama PKR selepas beliau kalah dalam pemilihan parti tersebut tahun lalu sekali gus masih memberi kesan terhadap Rafizi.
"Apakah rakyat Melayu mahu memberikan sokongan kepada politik balas dendam yang diamalkan parti pimpinan Rafizi ini sedangkan semua tahu dan sedar bahawa PH sedang berusaha sedaya-upaya untuk memberi kesenangan kepada rakyat.
"Pengundi yang menjadi sasaran Rafizi tentunya penyokong PH sendiri yang terpedaya dengan retorik dan hasutan beliau untuk memberikan undi kepada parti Kancil agar undi kepada PH akan berkurangan, terutama yang ditandingi PKR dan DAP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Rafizi berkata, Bersama menyasarkan 15 peratus undi popular pada PRN Melaka sebagai penanda aras kekuatan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi membuktikan mereka mempunyai penyokong tersendiri meskipun bertanding secara solo.
Menurutnya, pencapaian tersebut mampu meletakkan Bersama pada kedudukan setanding dengan parti-parti yang sudah lama bertapak dalam politik negara.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, pengundi harus menyedari matlamat politik Rafizi yang menggunakan pentas politik sebagai kaedah beliau untuk membalas dendam pada PKR selepas kalah dalam pemilihan yang lalu.
"Tiada elemen untuk membantu rakyat sebaliknya hanya bermatlamatkan untuk mengamalkan politik balas dendam yang penuh kebencian dan nafsu semata-mata," jelasnya. - Awani