Bersatu gesa rombak Kabinet, bukan bubar Parlimen

Iklan
Tun Faisal

KUALA LUMPUR — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa agar Jemaah Menteri dirombak berbanding membubarkan Parlimen, bagi menangani isu disiplin dan kegagalan sesetengah pihak dalam pentadbiran mematuhi prinsip kerajaan.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, persoalan utamanya ialah mengapa rakyat perlu menanggung akibat kegagalan menteri dan parti tertentu dalam kerajaan mematuhi disiplin serta melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dalam sistem demokrasi berparlimen berasaskan Westminster, menjadi anggota kerajaan bukan sekadar berkongsi kuasa, jawatan dan kedudukan tetapi turut memikul tanggungjawab bersama terhadap dasar, keputusan serta hala tuju pentadbiran negara.

"Masalah Kerajaan Perpaduan hari ini bukan sekadar kelemahan prestasi kementerian, tetapi juga kegagalan sebahagian menteri dan parti yang membentuk kerajaan untuk berfungsi sebagai satu pasukan.

Iklan

"Mereka mahu terus menikmati manfaat dan kedudukan dalam kerajaan, tetapi apabila timbul kelemahan atau kegagalan, mengambil pendekatan 'pass the blame', menyalahkan Perdana Menteri dan kerajaan, menjauhkan diri daripada keputusan bersama, malah menyerang kerajaan yang mereka sendiri anggotai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, dalam sistem Westminster, prinsip tanggungjawab kolektif menteri menuntut anggota Kabinet memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan kerajaan, di mana perbezaan pandangan boleh dibincangkan dalam Kabinet, namun setelah keputusan dibuat, setiap menteri perlu menghormati dan mempertahankannya.

Iklan

"Jika tidak lagi bersetuju atau tidak mampu menerima keputusan kerajaan, menteri berkenaan perlu melepaskan kedudukannya dalam Kabinet, bukannya terus menikmati jawatan sambil bertindak menyalahkan Perdana Menteri dan kerajaan sedangkan mereka sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan," ujarnya.

Tun Faisal menegaskan bahawa pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas pelanggaran disiplin ialah menteri atau parti yang terlibat, bukannya rakyat, memandangkan rakyat tidak seharusnya menanggung kos politik dan ekonomi akibat pembubaran Parlimen serta pilihan raya baharu.

Katanya, perkara itu lebih membimbangkan ketika negara sedang berhadapan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global serta ancaman serangan siber yang boleh menjejaskan ekonomi, keselamatan dan meruntuhkan negara.

Beliau turut mendakwa sikap tidak bertanggungjawab dan percaturan politik sama berulang kembali seperti ketika negara berhadapan pandemik Covid-19, apabila rakyat bertarung nyawa dan negara berada di ambang keruntuhan ekonomi.

Beliau turut mengimbas kembali pengalaman ketika Perikatan Nasional (PN) menerajui kerajaan pada 2020 hingga 2022, di mana kerajaan dan Perdana Menteri ketika itu turut berhadapan tekanan politik daripada pemimpin parti yang sama, namun anggota Kabinet daripada parti itu pada umumnya lebih berdisiplin, sanggup memikul tanggungjawab bersama dan tidak menyalahkan kerajaan serta Perdana Menteri.

"Berbeza dengan keadaan hari ini apabila pihak yang masih berada dalam kerajaan, termasuk yang mempunyai wakil dalam Kabinet, turut melepaskan tanggungjawab dan menyalahkan kerajaan sendiri sehingga mencetuskan percanggahan mesej serta persepsi ketidakstabilan.

"Ironinya, pihak yang kononnya membentuk Kerajaan Perpaduan atas Titah Yang di-Pertuan Agong kini seolah-olah sedang melanggar titah 'perpaduan' yang dulunya menjadi mantra dan alasan mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Jemaah Menteri dirombak dan dibetulkan terlebih dahulu sebelum membawa negara kepada pilihan raya sekali lagi, memandangkan kerajaan masih mempunyai kira-kira setahun sebelum tamat penggal Parlimen untuk memperbaiki prestasi, memperkukuh pentadbiran dan mengembalikan disiplin kerajaan.

"Rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada menteri dan parti yang mahu menikmati kuasa sebagai kerajaan, tetapi enggan memikul tanggungjawab sebagai kerajaan. Jangan hukum rakyat kerana kegagalan ahli politik mematuhi disiplin kerajaan," tegasnya.