DALAM era yang semakin bergantung kepada teknologi digital, serangan siber bukan lagi sekadar membawa risiko terhadap sistem komputer, data dan akaun peribadi malah turut menjadi ancaman serius yang boleh menjejaskan keselamatan serta kestabilan sesebuah negara.
Penggodaman berskala besar terhadap infrastruktur kritikal berpotensi melumpuhkan operasi sesebuah negara dan dalam keadaan tertentu mencetuskan kemusnahan serta korban jiwa yang kesannya setanding dengan serangan senjata nuklear.
Analisis bertajuk A Cyberattack Could Wreak Destruction Comparable to a Nuclear Weapon oleh Jeremy Straub dari North Dakota State University diterbitkan The Conversation menjelaskan bahaya sebenar serangan siber terletak pada keupayaannya mengganggu sistem yang menjadi asas kehidupan moden.
Berbeza dengan senjata nuklear yang menghasilkan kemusnahan fizikal dalam tempoh singkat, serangan siber boleh berlaku secara senyap sebelum kesannya merebak daripada satu sistem kepada sistem lain.
Sebagai contoh, serangan terhadap grid elektrik bukan sahaja menyebabkan rumah dan premis perniagaan kehilangan bekalan tenaga malah boleh menjejaskan hospital, sistem bekalan air, komunikasi, pengangkutan dan operasi industri.
Gangguan terhadap sistem pengangkutan pula boleh menghalang penghantaran makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan hingga mengakibatkan masalah rantaian bekalan.
Keadaan itu menunjukkan bahawa penggodam tidak semestinya perlu menyebabkan kematian secara langsung, sebaliknya hanya dengan melumpuhkan perkhidmatan penting yang bergantung kepada sistem digital yang memberi impak besar kepada masyarakat. Satu lagi aspek yang menjadikan ancaman siber lebih kompleks adalah kesukaran mengenal pasti pelaku.
Serangan boleh dilakukan dari lokasi berbeza, menggunakan pelayan atau rangkaian pihak ketiga bagi menyembunyikan identiti sebenar. Situasi sedemikian menyukarkan pihak berkuasa menentukan sama ada serangan itu dilakukan oleh individu, kumpulan jenayah siber atau sesebuah negara.
Ketidakpastian tersebut turut meningkatkan risiko salah perhitungan terutamanya jika serangan berlaku ketika hubungan antara kuasa besar sedang tegang.
Serangan siber juga berpotensi menjadi sebahagian daripada konflik ketenteraan. Sesebuah negara boleh menyerang sistem komunikasi, tenaga atau kewangan musuh terlebih dahulu bagi melemahkan keupayaan mereka sebelum operasi ketenteraan dilancarkan.
Ancaman tersebut memerlukan perubahan terhadap pendekatan keselamatan negara. Perlindungan terhadap infrastruktur kritikal tidak boleh hanya bergantung kepada sistem pertahanan fizikal, sebaliknya perlu melibatkan keselamatan siber yang kukuh, pemantauan berterusan dan keupayaan bertindak pantas ketika berlaku serangan.
Kerajaan dan sektor swasta juga perlu meningkatkan kerjasama serta melahirkan lebih ramai pakar keselamatan siber.
Dalam era digital, sebuah negara tidak semestinya perlu dihujani bom untuk menjadi lumpuh. Sekiranya sistem yang mengendalikan bekalan elektrik, air, kewangan, komunikasi dan pengangkutan berjaya diceroboh, keadaan itu boleh menjejaskan kehidupan masyarakat secara menyeluruh serta mengganggu kelancaran aktiviti harian.
Ancaman siber mungkin tidak menghasilkan letupan dahsyat seperti senjata nuklear, namun kemusnahan yang ditimbulkannya boleh merebak dengan lebih meluas dan memberikan kesan yang jauh lebih serius sehingga melangkaui dunia digital.