KUALA LUMPUR - Sebanyak 28 daripada 54 mangsa tragedi banjir Nepal-Tibet pada 26 Ogos, memenuhi syarat kelayakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus melayakkan waris menerima faedah.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bayaran keseluruhan berjumlah RM174,000 itu, meliputi bantuan kewangan segera sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan yang disalurkan kepada waris keluarga mangsa terbabit.
"Hari ini yang hadir 16 keluarga (daripada 28 keluarga yang layak). Saya memahami sehingga hari ini, keluarga masih berdepan ketidakpastian, mengenai nasib insan tersayang. Saya sedar, tiada bantuan dapat menggantikan kerisauan ini.
"Namun, saya mewakili kerajaan tidak mahu keluarga menanggung beban ini bersendirian, khususnya waris yang kehilangan tempat bergantung. Justeru, Kesuma melalui PERKESO berusaha memastikan waris mangsa yang layak, mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Penyerahan Faedah Perkeso Kepada Mangsa Banjir Nepal di Menara PERKESO di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Ramanan berkata, pihak PERKESO telah melakukan semakan dengan teliti, bagi memastikan tiada waris yang layak tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya.
"Proses pembayaran pencen ini akan dibuat sebaik sahaja semua maklumat dan dokumen berkaitan lengkap. Bagi mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman PERKESO, kami tetap prihatin dan mengambil berat tentang nasib keluarga anda.
"Melalui Program Social Synergy, PERKESO akan membantu menghubungkan keluarga yang terjejas dengan 990 rakan strategik termasuk 130 agensi di seluruh negara, bagi mengenal pasti bantuan lain yang bersesuaian untuk membantu meringankan beban mereka,” katanya. - Bernama