PRN Melaka: Baharu hari kelima kempen, Farzana sudah masuk gear lima

Iklan
Farzana ketika sesi soal jawab bersama peserta yang hadir pada program berkenaan.

MELAKA - Belum pun memasuki separuh tempoh berkempen, calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir sudah masuk gear lima dengan menggerakkan jentera secara agresif dalam usaha mendekati pengundi di kawasan itu.

Farzana, 26, yang mesra disapa Nana berkata, sekitar 30 ke 40 peratus kawasan itu sudah dikunjunginya sejak kempen rasmi bermula melalui turun padang dengan mengunjungi kawasan perumahan dan kampung bertemu penduduk dengan menaiki motosikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan beliau memperkenalkan diri secara lebih dekat kepada pengundi selain mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi penduduk.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kita bergerak lebih agresif dan ada jentera besar yang mengatakan saya sudah terus masuk gear lima.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kopilih Harapan bersama YB Altimet dan YB Rara di Pulau Gadong pada Rabu.

Farzana (dua dari kiri) pada Program Kopilih Harapan bersama YB Altimet dan YB Rara di Pulau Gadong pada Rabu.

Iklan

DUN Klebang menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong; Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu (Bersama) serta Farzana.

Ditanya sama ada bimbang persaingan itu memberi kelebihan kepada BN, Farzana mengakui kemungkinan itu tetap ada, namun beliau memilih untuk kekal positif dan tidak terlalu yakin dengan kedudukan sendiri.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pecahan undi, namun yakin pengundi mampu membuat penilaian berdasarkan kemampuan calon.

Bagaimanapun beliau berharap pengundi tidak menilai seseorang calon berdasarkan parti semata-mata, sebaliknya turut melihat rekod kerja, isu yang dibangkitkan serta usaha mencari penyelesaian terhadap masalah setempat.

“Kebimbangan itu ada, tetapi positifnya lebih. Kita tidak boleh terlalu yakin.

“Kita akan terus bergerak lebih agresif, tunjukkan muka dan perkenalkan diri kepada pengundi serta buktikan bagaimana wanita muda bekerja.

“Cabaran itu memang ada, tetapi kita meraikan demokrasi dan hak semua parti untuk bertanding. Bagi PH sendiri, kita sudah menggerakkan jentera sejak awal dan Alhamdulillah, semuanya masih tersusun serta bergerak dengan sangat aktif,” katanya.

Mengulas persaingan dengan calon lain yang lebih berpengalaman, beliau berkata faktor usia bukan ukuran kemampuan seseorang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya, katanya, perkara lebih penting ialah kemampuan calon mengenal pasti masalah setempat dan berusaha mencari penyelesaian.

Beliau memberi contoh beberapa aduan penduduk berkaitan sistem perparitan dan isu nelayan yang sedang diusahakan melalui kerjasama dengan agensi berkaitan.

Pada PRN Melaka 2021, calon BN, Datuk Lim Ban Hong memenangi kerusi DUN Klebang dengan 5,028 undi, menewaskan calon PKR, Datuk Gue Teck dengan 4,152 undi dan calon PN, Bakri Jamaluddin yang memperoleh 3,884 undi.

SPR menetapkan 10 November ini bagi tarikh pengundian awal manakala 14 November sebagai hari pengundian.