Enam jemaah masjid ingkar PKP didenda RM800

Iklan
Seramai enam jemaah didenda RM800 selepas mengaku salah ingkar PKP di Mahkamah Kuala Kangsar di sini hari ini.

KUALA KANGSAR - Seramai enam jemaah masjid didenda RM800 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini selepas disabitkan kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu lalu.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman denda itu terhadap kesemua lelaki berusia 48 hingga 76 tahun yang mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan serentak.

Iklan
Iklan

Beliau menasihatkan kesemua tertuduh untuk memberi kerjasama dalam membantu kerajaan memutuskan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Masjid tidak berkunci bukan boleh dijadikan alasan seolah-olah tiada keinsafan atau rasa bersalah.

Iklan

"Semua (tertuduh) berisiko tinggi terkena jangkitan. Semua perlu beri kerjasama, kalau ada yang degil tidak capai matlamat hapuskan Covid-19,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama didapati berhimpun di dalam mana-mana kawasan tempat berjangkit bagi maksud keagamaan.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di sebuah masjid di Kampung Sayong Tengah di sini sekitar jam 8.40 malam pada 16 April lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala kesemua diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Hanis Mohd Zaini.