SHAH ALAM - Empat beradik, empat kerjaya sebagai guru dan empat ijazah diraikan dalam satu majlis konvokesyen.
Itulah detik istimewa buat keluarga Mohd Ropie Othman Jalaludin apabila kesemua anaknya berjaya menamatkan pengajian di Asia e University (AeU) sambil meneruskan tanggungjawab sebagai pendidik.
Bagi Nur Syafirah Mohd Ropie, 36; Muhammad Syafiq Mohd Ropie, 35; Nur Syafiqah Mohd Ropie, 33, dan Nur Syahadah Mohd Ropie, 29, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian akademik, malah hadiah buat ibu bapa yang tidak putus memberikan sokongan dan galakan.
Empat beradik dari Puchong, Selangor itu diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-15 AeU di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam baru-baru ini.
Tiga daripada mereka iaitu Nur Syafirah, Muhammad Syafiq dan Nur Syahadah, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Sekolah Rendah, manakala Nur Syafiqah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Pemilihan bidang pendidikan bukan kebetulan kerana keempat-empat mereka sudah bergelar guru dan melihat pengajian sebagai peluang meningkatkan kemahiran, kelayakan serta masa depan kerjaya.
Nur Syafirah mengajar di sebuah sekolah agama di Johor Bahru manakala Muhammad Syafiq bertugas di sekolah rendah agama di Kuala Lumpur.
Nur Syafiqah pula merupakan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor, sementara Nur Syahadah mengajar di tadika swasta di negeri sama.
Menurut Muhammad Syafiq, beliau terlebih dahulu mengambil keputusan menyambung pengajian sebelum langkahnya menjadi inspirasi kepada tiga saudara kandung untuk mengikut jejak sama.
Daripada usaha individu, perjalanan itu akhirnya menjadi perjuangan bersama apabila mereka saling berkongsi ilmu, bertukar pandangan dan memberikan semangat ketika berdepan tugasan mencabar.
“Sepanjang pengajian, kami saling berkongsi ilmu, memberikan semangat dan membantu apabila berdepan kesukaran,” katanya.
Namun, perjalanan memperoleh ijazah bukan mudah kerana mereka perlu mengimbangi masa bekerja, belajar serta tanggungjawab harian.
Bagi Nur Syafirah dan Muhammad Syafiq yang sudah berkeluarga, cabaran lebih terasa apabila tanggungjawab rumah tangga, waktu berehat serta perbelanjaan keluarga perlu diurus seiring komitmen pengajian.
Kesibukan mengajar pada waktu siang turut menuntut disiplin dan pengurusan masa yang baik bagi memastikan tugasan akademik dapat disiapkan tanpa mengabaikan tanggungjawab lain.
Bagaimanapun, keinginan meningkatkan kelayakan akademik dan memperbaiki masa depan keluarga menjadi pendorong untuk mereka terus berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Di sebalik kejayaan empat graduan itu, berdiri dua insan yang sentiasa mendoakan mereka iaitu bapa, Mohd Ropie, seorang pesara yang kini bekerja sendiri dan ibu, Norelah Aziz seorang suri rumah.
Bagi pasangan itu, sokongan terhadap anak-anak diberikan mengikut kemampuan, sama ada melalui nasihat, galakan mahupun bantuan bagi memastikan hasrat menambah ilmu tidak terhenti di tengah jalan.
Keempat-empat beradik pula menyifatkan sokongan ibu bapa sebagai antara sumber kekuatan mereka untuk terus bersemangat biarpun berdepan pelbagai tuntutan pekerjaan dan kehidupan peribadi.
Detik mengenakan jubah konvokesyen dan meraikan kejayaan bersama-sama menjadi kenangan yang sukar dilupakan kerana mereka dapat melihat hasil kesungguhan masing-masing pada hari yang sama.
Lebih bermakna, kegembiraan itu turut dikongsi dengan ibu bapa yang selama ini menyaksikan usaha serta pengorbanan mereka untuk memperoleh kelayakan akademik lebih tinggi.
Selepas ini, mereka berharap dapat menggunakan ilmu yang diperoleh untuk meningkatkan mutu pengajaran dan membuka lebih banyak peluang memajukan kerjaya.
Mereka juga tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sekiranya berpeluang, selain menggalakkan keluarga lain supaya sentiasa menyokong ahli keluarga yang mahu menambah ilmu.
Bagi empat beradik itu, pengalaman tersebut membuktikan perjalanan menuntut ilmu tidak semestinya ditempuh bersendirian apabila sokongan keluarga dan kesediaan saling membantu mampu menjadikan cabaran lebih mudah dihadapi.