Maritim gerak bot tengah malam bawa pesakit kritikal dari Langkawi

Iklan
Pesakit memerlukan pemindahan segera ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar berikutan keadaan kesihatannya yang kritikal serta memerlukan rawatan kepakaran neurosurgeri.

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan aset bot pada tengah malam bagi membantu memindahkan seorang lelaki berusia 63 tahun yang berada dalam keadaan kritikal dari Langkawi ke tanah besar untuk mendapatkan rawatan neurosurgeri segera.

Bantuan itu dilaksanakan oleh Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis menerusi Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi selepas menerima permohonan kecemasan daripada Jabatan Surgikal Hospital Sultanah Maliha pada malam Jumaat.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, berkata pesakit berkenaan memerlukan pemindahan segera ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berikutan keadaan kesihatannya yang kritikal serta memerlukan rawatan kepakaran neurosurgeri.

Menurutnya, penggunaan aset Maritim Malaysia diperlukan berikutan kekangan perkhidmatan feri awam pada waktu malam selain memastikan pesakit dapat dipindahkan dengan selamat bersama pasukan perubatan pengiring.

Iklan

“Bot Penggalang 2 digerakkan dari Jeti Maritim Langkawi pada jam 12.01 tengah malam sebelum tiba dengan selamat di Jeti Feri Kuala Perlis pada jam 1.10 pagi.

“Pesakit berkenaan diiringi empat individu terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat terlatih, pembantu perawatan kesihatan dan seorang ahli keluarga sepanjang perjalanan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Bot Penggalang 2 digerakkan dari Jeti Maritim Langkawi pada jam 12.01 tengah malam Jumaat sebelum tiba dengan selamat di Jeti Feri Kuala Perlis pada jam 1.10 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di Jeti Feri Kuala Perlis, pesakit diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, selepas menyelesaikan misi pemindahan berkenaan, Bot Penggalang 2 meneruskan rondaan di kawasan operasi seperti biasa.