BENTONG – Seorang pekerja maut dipercayai tersepit ketika melakukan kerja penyelenggaraan mesin di sebuah kilang kertas di Taman Perindustrian Bentong, di sini pada Selasa.
Mangsa, Muhammad Saifulnizam Miskam, 32, dari Felda Lakum, Lanchang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintenden Azmi Mahmod berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menerusi sistem MERS 999 kira-kira jam 11.56 malam.
Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan tersepit di dalam mesin dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bentong untuk proses bedah siasat," katanya.
Azmi berkata, ketika ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya.