KUALA LUMPUR - Peguam yang mewakili Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mempersoalkan tindakan seorang bekas anggota polis membangkitkan dakwaan kekerasan terhadap anak guamnya yang didakwa berlaku pada 2015, hanya selepas sedekad berlalu.
Muhammad Rafique Rashid Ali turut membangkitkan persoalan, mengapa laporan kononnya kejadian itu berlaku, selepas isu membabitkan anak guam, mendapat perhatian ramai?
Sedangkan beliau berkata, ia didakwa berlaku ketika Mohd Shuhaily bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak pada 11 tahun lalu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada perkembangan terbaharu itu bertujuan membentuk persepsi negatif terhadap anak guamnya, yang menurutnya mendapat sokongan masyarakat kerana ketegasan serta disiplin semasa menjalankan tugas.
“Kenapa tiba-tiba sekarang, selepas lebih sedekad dan apa yang pengadu buat sejak 2015 sehingga sekarang?
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan peguam yang mewakili bekas anggota tersebut, Kamal Hisham pada Rabu, yang memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti semula laporan polis yang dibuat pada 19 November 2015.
Dalam kenyataan itu, Kamal Hisham mendakwa, anak guam mereka menjadi mangsa kekerasan Mohd Shuhaily ketika pegawai kanan itu bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak pada 11 tahun lalu.
Beliau mendakwa, anak guam berdepan pelbagai kesukaran dalam perkhidmatan selepas membuat laporan sehingga akhirnya diberhentikan daripada berkhidmat dengan PDRM.
Dalam pada itu, mengulas aspek perundangan, Muhammad Rafique berkata, kesalahan jenayah tidak mempunyai had masa pendakwaan seperti yang terpakai bagi sesetengah tuntutan sivil.
“Jika pihak AGC atau polis mahu menyiasat laporan itu dengan lebih lanjut, silakan.
“Bagaimanapun, persoalan yang wajar difikirkan rakyat ialah mengapa perkara ini dibangkitkan sekarang?” katanya.
Beliau menegaskan, keputusan sama ada sesuatu kes mempunyai asas untuk pendakwaan atau sebaliknya terletak pada AGC.
Sebelum ini, Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung kes kekerasan terhadap dua anggota polis.