Lelaki dipenjara 12 bulan halang tugas polis, pandu melulu

Iklan
Seorang buruh dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Pasir Mas pada Rabu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara melulu pada 24 Oktober lalu. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

PASIR MAS - Seorang buruh dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara melulu pada 24 Oktober lalu.

Tertuduh, Abdul Hakim Abdul Halim, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Abdullah Mohd Rodzlad.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu Koperal Mohd Hafiz Shamsudin yang merupakan pegawai polis dalam menjalankan fungsi awam.

Perbuatan itu dilakukan di lorong kecil jalan kedai lama Pasir Mas kira-kira jam 1.50 tengah hari pada 24 Oktober lalu.

Iklan

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mahfuzah Mahmud.

Iklan

Terdahulu, Mazlinda mencadangkan hukuman setimpal agar tertuduh tidak melakukan kesalahan yang sama serta mengambil faktor kecederaan pengadu.

Mahfuzah dalam rayuan memohon hukuman penjara yang minimum kerana tertuduh tidak mampu membayar denda.

Tertuduh yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan hanya RM50 sehari.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkapan pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh turut membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan memandu motokar nombor pendaftaran WKE 6626 jenis Toyota Corolla Altis berwarna emas dan telah memandu secara melulu dengan cara yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar kawasan jalan kedai lama Rantau Panjang, Pasir Mas kira-kira jam 2 petang pada 24 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkap dan denda RM5,000, jika gagal bayar penjara lapan bulan.

Dalam prosiding itu juga tertuduh didakwa memiliki lima botol plastik lutsinar berwarna putih berisi cecair disyaki dadah jenis kodein dengan anggaran isipadu 600 mililiter pada 24 Oktober lalu dan mengaku salah atas pertuduhan itu.

Kesalahan memiliki dadah dilakukan di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Mazlinda mencadangkan jaminan RM6,000 bagaimanapun Mahfuzah memohon hukuman yang ringan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari tahun depan bagi laporan kimia.

Tertuduh tidak bayar jamin dan denda tersebut.