Dewan Rakyat tumpu status baki liabiliti 1MDB, kuota BUDI95 hari ini

Iklan
Baki liabiliti bersih 1MDB berjumlah RM20.1 bilion, kuota BUDI95, operasi pusat data dan keciciran pembelajaran antara isu dijangka dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Status penyelesaian baki liabiliti bersih 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dianggarkan berjumlah RM20.1 bilion, termasuk nilai aset dan tuntutan yang masih dalam proses pemulihan, antara isu yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) dijadual membangkitkan perkara itu pada sesi soal jawab lisan dengan meminta Menteri Kewangan menyatakan nilai yang dijangka diperoleh daripada setiap tuntutan berkenaan serta tahun sasaran kerajaan untuk menyelesaikan sepenuhnya tanggungan tersebut.

Iklan
Iklan

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) pula akan meminta penjelasan mengenai justifikasi pengurangan kuota petrol bersubsidi di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebelum dinaikkan semula mulai 1 September 2026.

Beliau turut meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api sepanjang tahun ini.

Iklan

Sesi berkenaan juga dijangka menyentuh isu operasi pusat data, perancangan menaik taraf rangkaian jalan raya susulan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta langkah menangani keciciran pembelajaran dalam kalangan murid miskin tegar.

Young Syefura Othman (PH-Bentong) dijadual meminta Menteri Kerja Raya menjelaskan perancangan menaik taraf rangkaian jalan persekutuan dan negeri di Bentong bagi menampung peningkatan trafik susulan siapnya projek ECRL.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula dijadual meminta kerajaan menyatakan pelan kontingensi bagi memastikan operasi pusat data tidak menjejaskan bekalan elektrik dan air untuk rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai syarat penggunaan bekalan elektrik dan air oleh pusat data ketika krisis, selain sama ada kerajaan menetapkan larangan pembinaan pusat data di kawasan tertentu, mewajibkan penggunaan air terawat semula serta mempunyai mekanisme keutamaan bagi menangani isu berkenaan.

Sementara itu, Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) akan meminta kerajaan menjelaskan pelan tindakan strategik bagi membantu murid miskin tegar multidimensi yang masih berdepan keciciran pembelajaran jangka panjang (learning loss), sekali gus memastikan ketersisihan dalam aspek pendidikan tidak terus menjerumuskan mereka ke dalam perangkap kemiskinan.

Selepas sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Dewan Rakyat dijadual menyambung sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 oleh kementerian berkaitan. - Bernama