Kerjasama MCA-Pas mampu pulihkan keseimbangan politik - Zaid Ibrahim

Iklan
Zaid Ibrahim

SHAH ALAM – Kerjasama antara MCA dengan Pas dilihat mampu mengembalikan keseimbangan politik negara seperti yang pernah wujud menerusi Parti Perikatan pada era 1960-an.

Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim berkata, MCA perlu melihat perkembangan politik negara secara lebih strategik, khususnya ketika masyarakat Melayu menunjukkan kecenderungan semakin kuat terhadap Pas.

Iklan
Iklan

Menurut Zaid yang juga ahli Pas, sekiranya masyarakat Melayu semakin cenderung untuk bersikap tertutup dan hanya menumpukan perhatian kepada kelompok sendiri, perkembangan itu bukan sesuatu yang baik untuk negara.

"Justeru, kerjasama MCA dengan Pas akan mengembalikan keseimbangan seperti yang pernah wujud menerusi Parti Perikatan pada era 1960-an," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Zaid turut mendedahkan bahawa beliau pernah bertemu Presiden MCA sambil minum kopi dua tahun lalu dan cuba memujuk pemimpin berkenaan supaya mempertimbangkan kerjasama dengan Pas demi masa depan negara.

Bagaimanapun, katanya, walaupun Presiden MCA ketika itu menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan kepimpinan parti, tiada sebarang perkembangan susulan daripada pertemuan tersebut.

Iklan

Dalam pada itu, beliau mendakwa DAP berjaya menanam rasa takut terhadap Pas dalam pemikiran masyarakat Cina, namun MCA tidak menunjukkan kesediaan untuk mencabar persepsi berkenaan.

"Saya menyangka sebuah parti yang matang seperti MCA mampu mengatasi halangan itu, tetapi mereka langsung tidak mahu mencuba.

"Sebaliknya, mereka terus kekal bersama sebuah parti yang memperjuangkan ketuanan Melayu, yang tidak menghormati MCA, tidak menjanjikan sebarang reformasi dan telah kehilangan sokongan besar dalam kalangan orang Melayu," dakwanya.

Zaid turut berpandangan MCA lebih selesa mengekalkan pendekatan lama daripada berusaha menyangkal naratif DAP yang menggambarkan Pas sebagai sebuah parti berbahaya.

"Lebih mudah untuk meneruskan cara lama dan menerima sahaja tanggapan DAP bahawa masyarakat Cina mudah diperdaya serta tidak mampu menilai sifat sebenar Pas.

"Pas adalah parti berbahaya, itu sahaja yang DAP boleh sampaikan kepada masyarakat Cina, sedangkan MCA tidak merasakan perlunya mencabar naratif tersebut," dakwanya lagi.

Kata beliau, negara memerlukan sebuah blok politik masyarakat Cina yang lebih bijaksana dalam membuat pertimbangan serta menampilkan sikap rendah diri.