Semangat Dr Siti Hawa inspirasi golongan inklusif – UMPSA

Iklan
Yatimah (tengah) dan Zaidah (kanan) ketika menziarahi keluarga Allahyarhamah Dr Siti Hawa di Masjid Seri Mahkota Aman, Kuantan pada Selasa. Gambar kecil; Dr Jamaluddin. Foto Sinar Harian.

KUANTAN – Kejayaan Allahyarhamah Dr Siti Hawa Apandi menamatkan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) meskipun menghidap spinal muscular atrophy (SMA) menjadi inspirasi kepada golongan inklusif.

Allahyarhamah yang meninggal dunia pada usia 37 tahun itu berjaya menamatkan pengajian dari peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana sebelum memperoleh PhD dalam bidang Kejuruteraan Sains Komputer di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Iklan
Iklan

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga merupakan penerima Malaysia Book of Records (MBR) yang diiktiraf sebagai 'First SMA Patient to Complete Continuous Higher Education Studies From Single University'.

Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr Yatimah Alias berkata, pemergian Allahyarhamah merupakan kehilangan besar kepada universiti itu, namun pencapaian akademik dan semangatnya akan terus menjadi inspirasi kepada warga kampus.

Iklan

“Semangat Allahyarhamah sebagai seorang daripada golongan inklusif menjadi ikon kepada UMPSA kerana beliau bersama kami sejak peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana sehingga berjaya memperoleh ijazah kedoktoran.

“Kami sentiasa mengikuti perkembangannya dengan sokongan penyelia dan Pengarah Pusat Perkhidmatan Inklusif (PPi)/Pusat Teknologi dan Ekosistem Inklusif (iNKLUSIF) UMPSA, Dr Munirah Abdul Razak,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Seri Mahkota Aman di sini pada Selasa.

Iklan

Yatimah (kiri) dan Dr Munirah menunjukkan artikel khas yang ditulis oleh Allahyarhamah Dr Siti Hawa. Foto Sinar Harian.

Menurut Yatimah, sokongan dan pengorbanan ibu bapa Allahyarhamah yang sentiasa berada di sisinya sepanjang pengajian di UMPSA turut menjadi antara pendorong kejayaan tersebut.

“Kami merasakan ini satu kehilangan yang sangat besar. Allahyarhamah sentiasa menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada warga kampus, terutamanya golongan inklusif.

“Kita berdoa semoga beliau tergolong dalam kalangan orang yang dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang beriman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yatimah memaklumkan artikel khas mengenai Allahyarhamah dan ekosistem inklusif yang diusahakan bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah diterbitkan pada 20 Oktober lalu.

Beliau berkata, sebuah buku khas mengenai perjalanan hidup dan perjuangan Allahyarhamah yang diusahakan bersama penyelia serta Pusat Inklusif UMPSA kini berada dalam fasa perancangan untuk diterbitkan.

Sementara itu, penyelia utama Allahyarhamah, Ts Dr Jamalluddin Salim dari Fakulti Komputeran UMPSA berkata, ketekunan Siti Hawa meneruskan pengajian hingga ke peringkat PhD walaupun berdepan keterbatasan fizikal menjadi kenangan tersendiri buatnya.

Menurutnya, Allahyarhamah mempunyai tiga sifat utama yang diringkaskan sebagai DSP, iaitu disiplin, kebolehan menyusun kerja secara berstruktur dan pandai.

“Sebagai penyelia, saya sebenarnya tidak banyak menguruskannya kerana Allahyarhamah seorang yang sangat berdisiplin dan sentiasa mengingatkan saya mengenai tarikh akhir atau perkara yang perlu dihantar,” katanya.

Dr Jamalluddin berkata, keupayaan pergerakan tangan Allahyarhamah semakin terbatas secara berperingkat sepanjang tempoh pengajiannya.

“Pada awal pengajian, kedua-dua belah tangannya masih boleh bergerak. Namun, apabila memasuki tahun ketiga dan keempat, hanya sebelah tangan yang boleh digunakan.

“Pada tahun kelima pengajian, beliau hanya mampu menggunakan satu jari untuk menyiapkan tugasan,” katanya.

Beliau berkata, ketekunan Allahyarhamah membolehkannya menyiapkan hasil penyelidikan selepas lima tahun, manakala proses pemeriksaan mengambil sedikit masa sehingga tempoh keseluruhan pengajiannya memasuki tahun keenam

"Saya kini dalam proses menghasilkan sebuah buku mengenai perjalanan hidup dan ketabahan Allahyarhamah bagi mendokumentasikan kisah perjuangannya," jelasnya.

Terdahulu jenazah Dr Siti Hawa dikafankan dan disolatkan di Masjid Seri Mahkota Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, di sini jam 11.30 pagi tadi.